KDNK M'sia lebih tinggi tahun ini, kata firma penyelidik
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka tumbuh 4.5 peratus tahun ini, berbanding 4.2 peratus tahun lalu, kata RHB Research Institute Sdn Bhd.
Memetik laporan The Edge Markets, jangkaan firma penyelidik perbankan itu adalah bersandarkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat kepada 4.7 peratus dari tahun ke tahun pada bulan Februari.
"Ia meningkat daripada 3.5 peratus pada bulan Januari, dengan berpaksikan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam aktiviti pembuatan, output elektrik dan eksport yang meningkat," kata firma tersebut.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan KDNK negara tahun ini meningkat sedikit berbanding 4.2 peratus yang dicapai tahun lepas.
"Kita menjangka angkanya naik sedikit tahun ini, dan (pertumbuhan) akan meningkat pada 2018," katanya.
"Kerajaan mengunjurkan ekonomi akan berkembang antara empat dan lima peratus pada 2017.
"Angka ini menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang lebih berganda daripada kadar yang diunjur Dana Kewangan Antarabangsa bagi ekonomi maju pada tempoh yang sama," kata beliau dalam ucaptama pada Forum Transformasi Global, baru-baru ini.
Najib sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia kekal berada pada landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Dua bulan yang lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara tumbuh 4.2 peratus bagi keseluruhan 2016.
Mengulas lanjut, RHB Research berkata, selain itu, ramalan KDNK itu juga adalah berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan pemulihan yang lebih kukuh daripada aktiviti eksport dan kemajuan dalam sektor komoditi.
"Malaysia juga mengalami peningkatan dalam permintaan dalam negeri dengan perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan selain peningkatan sederhana dalam perbelanjaan awam dan pelaburan swasta," katanya.

