Abu Rami antara militan Abu Sayyaf terbunuh
GLOBAL l Muamar Askali, komander Abu Sayyaf yang dikehendaki oleh pelbagai negara, ditembak mati oleh pasukan keselamatan Filipina, lapor The Star hari ini.
Askali, yang juga dikenali sebagai Abu Rami, amat dikehendaki oleh pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. Dia didakwa sebagai dalang penculikan dan pemenggalan kepala tebusan kumpulan militan itu, termasuk seorang rakyat Malaysia, Bernard Then.
Lelaki dari Sarawak itu diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada Mei 2015 dan dipancung pada November tahun sama.
Abu Rami juga dikatakan adalah dalang di sebalik penculikan dan pembunuhan tebusan dari Kanada John Risdel dan Robert Hall, serta warga Jerman, Jurgen Kantner tahun lalu.
Abu Rami yang dipercayai dalam usia 20-an terbunuh awal Selasa dengan empat yang lain di sebuah rumah ladang di Bohol, tengah Filipina, selepas sebuah helikopter tentera menyerang tempat persembunyian mereka.
Akhbar berkenaan diberikan gambar militan yang terbunuh itu dengan mukanya berlumuran darah, sebagai bukti bahawa dia telah terbunuh.
Sementara itu, Reuters melaporkan tentera Filipina membunuh sekurang-kurangnya enam anggota Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan militan IS semasa pertempuran di Pulau Bohol semalam.
Empat anggota keselamatan Filipina juga dilaporkan terkorban.

