Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kalau betul pun saya tak hairan, kata Khalid Samad

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli perlu membuktikan dakwaan bahawa terdapat bekas pemimpin kanan PAS menerima dana berkaitan 1MDB, kata ketua penerangan AMANAH Khalid Samad.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya dakwaan itu benar, ia sekali gus menjawab secara jelas banyak sikap pelik PAS selepas pilihan raya umum lalu.

"Sama ada ia berlaku atau tidak, itu Rafizi kena buktikan kerana dia mengeluarkan kenyataan itu, sekiranya ia berlaku tak hairan bagi saya.

"Saya tidak berani nak kata sebab bukti tidak ada dengan saya.Tapi sekiranya benar maka ia menjawab banyak persoalan. Sehingga ke hari ini ramai yang masih tidak faham Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bertindak sepertimana dia bertindak pada ketika itu (selepas pilihan raya)," katanya.

Terdahulu, Rafizi mendakwa mempunyai bukti bahawa individu yang menjadi perantara antara Umno dan PAS menerima dana daripada akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, tindakan pemimpin berkenaan menimbulkan kemarahan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat apabila parti itu ingin menjalin hubungan dengan Umno.

Mengotakan janjinya, Rafizi hari ini menamakan individu misteri itu sebagai bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Menurut Khalid, banyak sikap aneh ditunjukkan pemimpin PAS sebaik sahaja selesai pilihan raya umum ke-13, apabila parti Islam itu mendesak supaya hubungan PAS dengan PKR dan Pakatan Rakyat dikaji semula.

"Walaupun kita sebagai AJK PAS pusat pada waktu itu, ia (keputusan itu) tidak dimaklumkan kepada semua dan ia merupakan pendirian dan sikap yang diputuskan seorang diri atau dengan kumpulan tertentu.

"Selepas 2013 kita nampak sikap PAS terhadap PR telah berubah (apabila) berlakunya multaqa ulama pada 2013 dan dikemukakan usul untuk dikaji kembali hubungan PAS dengan PKR dan PR. Dan semua benda pelik berlaku," katanya.

Lihat Komen
ADS