Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: Sumber saya bekas pegawai kanan SPRM
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 3:45 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sumber yang memberi maklumat kepada Rafizi Ramli berhubung dakwaan seorang bekas pemimpin kanan PAS menerima dana daripada anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

"Beliau adalah pegawai SPRM terkanan yang mengetuai siasatan ke atas dana 1MDB dan keterlibatan Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri Malaysia dalam skandal tersebut.

"Oleh itu, beliau mempunyai maklumat yang sahih dan terperinci mengenai siasatan dan aliran dana dari 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri seterusnya ke akaun-akaun tokoh politik lain," kata Rafizi dalam akuan bersumpah yang dibuatnya hari ini.

Rafizi berkata beliau bertemu bekas pegawai berkenaan pada 28 Januari untuk bertanya khabar setelah individu itu bersara daripada perkhidmatan kerajaan.

"Kami berkongsi maklumat dan pengetahuan sebagai rakyat biasa mengenai kes 1MDB kerana beliau kini bukan lagi kakitangan kerajaan," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudian, Rafizi berkata beliau mendedahkan sumber sebagai bekas pegawai kanan SPRM selepas mendapat persetujuan darinya.

"Ya, dia bersetuju dengan saya membuat SD dengan cara ini," katanya.

Dalam SD itu, Rafizi mendakwa bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa menerima dana daripada SRC International, yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau juga mendakwa dana itu datang dari akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan telah dipindahkan kepada Nasharudin melalui seorang peguam.

Nasharudin adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global, yang merupakan idea pentadbiran Najib.

Beliau juga adalah angota panel perundingan dan pencegahan rasuah SPRM.

Malaysiakini telah menghubungi Nasharudin untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkannya dakwaan itu tiada kena mengena dengan PAS dan Nasharuddin bukan lagi pemimpin parti berkenaan.

Beliau juga menafikan PAS mendapat manfaat daripada dana yang didakwa.

Akuan Bersumpah Rafizi turut menampilkan carta Sarawak Report mengenai pembayaran terperinci yang didakwa dibuat daripada akaun perdana menteri pada tahun 2015. Tiada bayaran kepada Nasharudin disebut dalam carta itu.

Najib menafikan menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. Beliau juga telah dibersihkan daripada sebarang salah laku oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sementara itu, Rafizi yang merancang untuk membuat laporan kepada SPRM pagi esok, berkata kes ini merupakan 'ujian' bagi kepimpinan baru SPRM.

Lihat Komen
ADS