Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga didakwa hina k'jaan, PM dan isteri
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 4:48 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini bagi dua pertuduhan memuat naik komen jelik dan menghina kerajaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menerusi aplikasi Facebook, dua minggu lepas.

Kum Eng Choon, 48, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Facebook melalui akaun profil 'Kum Dage' dengan secara sedar membuat serta memulakan penghantaran komunikasi komen yang jelik.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Media 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama memperuntukan hukuman denda maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedarkan kenyataan sama melalui akaun Facebook sama dengan niat menyebabkan kegentaran kepada orang awam supaya terdorong melakukan suatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kompleks Campbell Jalan Dang Wangi di sini pada 11.16 pagi, 5 April lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menawarkan jaminan RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan tidak menawarkan jaminan bagi pertuduhan kedua, manakala tertuduh yang diwakili peguam Guok Ngek Seong merayu jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Dia membayar jaminan itu.

Mahkamah menetap 24 Mei ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS