Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak bertindak terhadap Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berhubung pergelutan hingga menyebakannya dan sembilan yang lain didakwa kerana merusuh.

Beliau berkata, dirinya berserta penyokongnya menghormati undang-undang dan bersedia untuk diadili, tetapi mereka kecewa kerana seolah-olah tidak ada sebarang siasatan terhadap Zuraida.

“Tetapi kami mempertikaikan kenapa kami saja diambil tindakan dan siasatan.

“Kenapa orang yang memulakan provokasi (terhadap) kumpulan BERSIH yang diketuai Zuraida, tak langsung diambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar selepas membayar wang jaminan hari ini.

Beliau mendakwa, pada kejadian 16 November tahun lalu, Zuraida dan pengikutnya cuba mempromosikan perhimpunan BERSIH dan "menghasut rakyat untuk menggulingkan kerajaan melalui protes jalanan".

“Kami yang tentang perkara tersebut kami pula dituduh.

“Kalau tak berlaku provokasi yang dilakukan Zuraida, perkara ini tak berlaku. Dari awal kami kata, tak ada BERSIH, tak ada Gerakan Merah,” kata Jamal, yang mengetuai pergerakan kumpulan yang dkenali sebagai Baju Merah itu.

Beliau berkata lebih banyak perhimpunan BERSIH akan diadakan jika Zuraida tidak dijadikan contoh.

“Tetapi hari ni kami melihat sendiri undang-undang itu kami saja yang ditahan, didakwa di mahkamah sedangkan mereka bebas.

“Dengan tertuduhnya kami, lepas ini saya yakin mereka akan buat BERSIH 6, 8, 10 kerana undang-undang tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap apa mereka lakukan,” katanya.

[Baca berita penuh]