IGP: Polis tunggu Korea Utara serahkan semula 4 suspek
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis masih menunggu pihak berkuasa Korea Utara menyerahkan empat warganegaranya yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Beliau berkata demikian berikutan dua peguam tertuduh, Siti Aisyah dan Doan Thi Huong berkata pembebasan tiga lagi suspek rakyat Korea Utara sebelum ini akan menyebabkan prejudis terhadap anak guam mereka.
"Mereka boleh cakap apa yang mereka suka tapi kami ada kes. Saya hanya tunggu Korea Utara untuk hantar balik empat orang itu kepada kami.
"Kenapa peguam itu buat tuduhan seperti itu? Kamu kata kepada peguam itu kita bukan ahli politik, kita tak main politik di sini. Kita sedang siasat satu kes bunuh," tegas Khalid dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Siti Aisyah dan Doan didakwa bersama-sama membunuh Jong-nam pada 1 Mac lalu di KLIA 2. Jong-nam merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Sementara itu, Khalid mengesahkan bahawa tuduhan membunuh akan difailkan semula apabila empat suspek itu diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia.
"Sekarang empat itu masih di Korea Utara dan kami sedang tunggu pihak berkuasa Korea Utara untuk menyerahkan mereka kepada kami," katanya.
Kembalikan kepada Malaysia
Khalid menambah bahawa pihak berkuasa Korea Utara perlu menangkap suspek dan mengembalikan mereka kepada pihak berkuasa Malaysia.
"Itulah apa yang mereka perlu lakukan, kerana seperti yang saya katakan sebelum ini, kita sedang menyiasat satu kes pembunuhan.
"Mereka tak gembira yang kita sedang siasat kes pembunuhan ini? Adakah mereka tak gembira untuk mengetahui kebenaran tentang siapa yang membunuh warganegara mereka?"soal beliau.
Keempat-empat suspek berkenaan meninggalkan Malaysia selepas Jong-nam mati diracun. Polis kemudian memperolehi notis merah daripada Interpol untuk menahan kesemua empat suspek berkenaan.
Bulan lalu, tiga warga Korea Utara yang disoal siasat berhubung pembunuhan Jong-nam dibawa pulang ke Pyongyang bersama mayat lelaki itu selepas persetujuan dicapai.
Beberapa rakyat Malaysia yang dihalang meninggalkan Korea Utara kemudian dibenarkan pulang ke negara ini selepas Malaysia bersetuju memulangkan mayat dan ketiga-tiga individu terbabit.

