Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima 1,950 aduan yang dikemukakan orang ramai terhadap salah laku agensi penguat kuasa sejak 2011 hingga kini.

Pengerusinya Datuk Yaacob Md Sam berkata daripada jumlah itu, aduan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah paling tinggi iaitu 1,344 laporan.

"Antara aduan yang diterima melibatkan PDRM adalah laporan polis yang tidak disiasat, atau jika disiasat mengambil masa lama untuk dilengkapkan, perkembangan siasatan tidak diberitahu kepada pengadu serta barang kes yang tidak dipulangkan," katanya kepada Bernama.

Aduan lain termasuk 99 aduan terhadap Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (62), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (48), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (36) dan Jabatan Perdaftaran Negara (19).

Beliau berkata setiap aduan yang diterima akan didaftarkan dan melalui proses siasatan awal bagi menentukan asas aduan itu, sebelum ia dinilai oleh Jawatankuasa Aduan Suruhanjaya.

- Bernama