Lima individu dipercayai ceti haram atau along diberkas kerana mengancam pasangan suami isteri yang gagal membayar pinjaman dalam kejadian di Kampung Wakaf Mempelam, di Kuala Terengganu Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata tiga lelaki Cina, seorang Melayu dan seorang India berkunjung ke rumah pasangan itu kira-kira jam 9 malam bagi menuntut wang yang dipinjam pasangan tersebut.

Katanya susulan gagal membayar wang pinjaman itu, kumpulan lelaki berkenaan mengancam dan mengugut mangsa lantas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek.

"Suami mangsa telah mengeluarkan sebilah parang bagi menakutkan suspek sebelum dibalas dengan kata cacian dan ugutan yang mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

"Susulan itu kami berjaya memberkas kesemua suspek yang berusia antara 20 dan 40 tahun ini di sebuah kedai di bandar Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang Selasa lalu," katanya dalam sidang media semalam.

Menurut Rosli hasil siasatan mendapati kesemua suspek yang berasal dari Johor ini menjalankan kegiatan pinjaman wang yang tidak berlesan.

Jelasnya kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan menawarkan pinjaman sebanyak RM1,000 namun hanya RM700 diberikan kepada mangsa dan hutang itu perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2), Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951.

Dalam pada itu beliau berkata pada tahun ini sebanyak lima laporan polis berhubung pinjaman wang membabitkan kumpulan berlainan telah diterima melibatkan daerah Kuala Terengganu dan Besut.

Rosli berkata lazimnya golongan penjaja dan peniaga kecil yang menjadi sasaran kumpulan berkenaan kerana pinjaman ini tidak memerlukan dokumen seperti institusi perbankan.

- Bernama