Penghakiman perinci ahli Umno lobi Najib untuk projek
Sebuah penghakiman bertulis memperincikan bagaimana pemimpin Umno bahagian Penampang John Ambrose menggunakan pengaruh kedudukan dan hubungan baiknya dengan perdana menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kontrak bagi pojek-projek yang berkaitan dengan UMS Sabah.
Penghakiman Mahkamah Rayuan oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, bulan lalu, mendedahkan bagaimana Ambrose berjumpa Najib sebanyak dua kali, berjumpa dengan pegawai-pegawai PM lain dan kemudiannya dengan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin (ditulis dalam penghakiman itu sebagai Nordin Khalid) supaya Asli Jati Engineering Sdn Bhd dan pengarahnya Peter Anthony yang disamannya mendapat projek-projek berkenaan.
Projek-projek berkenaan adalah kerja-kerja penyelenggaraan elektrik dan mekanikal untuk Universiti Malaysia Sabah di Labuan (projek UMS Labuan) dan kerja-kerja penyelenggaraan mekanikal, sivil dan kejuruteraan yang komprehensif untuk UMS Sabah Fasa 2 di Kota Kinabalu (projek UMS KK) secara rundingan terus, antara tahun 2009 dan 2010.
Susulan itu Asli Jati mendapat projek UMS Labuan sebanyak RM90,000 sebulan selama tiga tahun dan RM1.2 juta sebulan tertakluk kepada perubahan selama lima tahun bagi projek UMS KK, menurut dokumen mahkamah.
Pemimpin Umno Penampang itu memohon deklarasi bahawa beliau adalah pemilik sah dan pemilik harta di Kota Kinabalu itu yang dipegang oleh Asli Jati kerana menawarkan perkhidmatannya untuk mendapatkan projek itu.
Beliau juga mahkamah mengeluarkan perintah yang mengarahkan Anthony untuk memindahkan harta, akaun oleh defendan dengan jumlah wang sebanyak 10 peratus daripada jumlah nilai kontrak projek UMS Labuan dan projek UMS KK sebagai komisen.
Dalam pembelaan Asli Jati dan Anthony, mereka mendakwa telah membayar Ambrose RM1.29 juta bagi bayaran yuran profesionalnya, caj perkhidmatan dan pendahuluan pinjaman.
Ambrose bagaimanapun kalah kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan keputusan itu dikekalkan di Mahkamah Rayuan kerana ia tidak mengiktiraf perjanjian lisan dan memerintahkannya sebagai tidak sah.
Kedua-dua mahkamah bagaimanapun, mengekalkan tuntutan balas oleh Anthony dan syarikat daripada mendapatkan harta dari Ambrose.

