TPM akui sistem pendidikan punca perpaduan sukar diterjemah
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui sistem pendidikan negara ketika ini tidak menggalakkan pembentukan perpaduan nasional, dan harus dikaji semula.
Ini kerana, katanya, Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar pendidikan kebangsaan tidak diikuti sehingga perpaduan negara sukar diterjemah.
"Ada yang ikut sistem pendidikan kebangsaan, ada sistem ikut bahasa ibunda masing-masing kerana dasar pendidikan kebangsaan menggalakkan bahasa ibunda diajar.
"Bagaimanapun, apabila berada di peringkat menengah, gunakanlah aliran yang sama. Mana ada negara di dunia ini yang sistem pelajarannya ada tiga jenis? Tiada. Malaysia saja.
“Baik betul pemimpin Malaysia. Akhirnya tidak ada titik pertemuan.
“Orang sekolah tahfiz pernah jumpa pelajar dari sekolah Cina? Tak pernah jumpa.
“Justeru, bila masa ada komunikasi silang budaya,” katanya, ketika berucap pada Siri Forum Dasar Awam Kementerian Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pelajar berkenaan kemudian melanjutkan pelanjaran sama ada di universiti dalam negara mahupun luar negara dan langsung tidak ada titik pertemuan.
“Maka tidak wujud perpaduan negara," katanya sambil menambah, perkara itu memerlukan sistem pendidikan dilihat semula.
"Kita menghormati semua bahasa ibunda tetapi mesti ada persamaan untuk mewujudkan perpaduan negara itu.
"Kekalkan ilmu yang ada dalam bahasa masing-masing sebagai satu subjek tapi bukan sebagai pengantar utama yang akan menyebabkan permasalahan.
"Cacamerba akan berlaku apabila sistem pendidikan tidak mengambil perkiraan perpaduan nasional sebagai tonggak utama," katanya.

