Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Putera Jepun mahu tingkat kerjasama dengan PERMATA
Diterbitkan:  Apr 14, 2017 3:57 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Putera Mahkota Jepun, Putera Mahkota Naruhito menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama sedia ada antara Pusat PERMATA pintar negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sekolah untuk pelajar berkemahiran tinggi di Jepun.

Penaung Program Permata Negara (PERMATA), Datin Seri Rosmah Mansor berkata, Putera Mahkota Naruhito menyampaikan hasrat untuk bekerjasama itu kepada beliau ketika melawat Pusat Permata Negara UKM di Bangi hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan Naruhito, Rosmah berkata bidang kerjasama yang akan ditingkatkan termasuk menambah jumlah pelajar yang terlibat dalan program pertukaran pelajar.

"Tahun ini dijangka 100 pelajar dari Jepun akan datang ke Pusat Permata Negara dan 10 pelajar Malaysia akan dihantar ke Jepun," katanya.

Rosmah berkata pertukaran pelajar antara program PERMATA pintar negara dan sekolah-sekolah terpilih di Jepun bermula sejak 2015 apabila 50 pelajar Jepun dihantar ke Malaysia dan tujuh pelajar Malaysia ke Jepun.

Beliau berkata Jepun tidak mempunyai masalah untuk menghantar ramai pelajarnya ke Malaysia kerana mereka tidak banyak kekangan dari segi kewangan.

Mengulas mengenai lawatan Putera Mahkota Naruhito ke Pusat Permata Negara itu, Rosmah berkata beliau berbesar hati dan menghargai lawatan hari ini.

"Putera Naruhito turut melahirkan rasa kagum dengan program PERMATA pintar apabila mengetahui ada pelajar program ini yang berjaya masuk universiti di luar negara seawal usia 14 tahun," katanya lagi.

Ketibaan Putera Mahkota Naruhito di PERMATA pintar negara disambut oleh Rosmah yang kemudiannya mengiringi baginda untuk mengikuti taklimat mengenai program Permata.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM Prof Datuk Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K Rahmat ketika berucap menyampaikan taklimat kepada baginda berkata, beliau berharap lawatan ini akan membuka jendela peluang kepada PERMATA pintar untuk bekerjasama dengan Jepun.

"Saya yakin kita boleh belajar antara satu sama lain dan pembelajaran ini akan memanfaatkan pelajar berbakat dari kedua-dua negara," katanya.

Riza Atiq Abdullah berkata PERMATA pintar sebelum ini telah bekerjasama dengan pelajar berbakat dari Arab Saudi, India, Kazakhstan, Afrika Selatan, Mozambique, Singapura, Brunei dan Mexico dalam program musim panas.

Dilancarkan pada 2009, PERMATA pintar merupakan satu-satunya program pendidikan untuk anak-anak berbakat di Malaysia, katanya.

Beliau berkata PERMATA menyasarkan untuk membangunkan pelajar yang kompeten untuk berhadapan cabaran abad ke-21.

"PERMATA juga berhasrat untuk melahirkan pelajar yang mempunyai keyakinan diri tinggi selain merendah diri dalam menghargai pengetahun dalam semua sifat, kreatif tetapi juga inovatif dalam pemikiran mereka," katanya.

Selepas taklimat itu, Putera Mahkota Jepun melawat gerai pameran yang memaparkan demonstrasi dan persembahan daripada pelajar PERMATA pintar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS