SP Setia bakal jadi firma hartanah terbesar M'sia
SP Setia Bhd bercadang membeli keseluruhan pegangan ekuiti dalam I&P Group Sdn Bhd, seterusnya menjadi pemain hartanah terbesar di Malaysia.
Syarikat hartanah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pembelian tersebut yang dianggarkan dalam lingkungan RM3.5 bilion hingga RM3.75 bilion, akan meningkatkan jumlah simpanan tanahnya kepada hampir 4,046.86 hektar.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen, berkata pembelian itu akan membolehkan syarikat tersebut memanfaatkan peluang sinergistik yang boleh ditawarkan I&P Group, memandangkan tanah-tanahnya terletak di kawasan pertumbuhan di bahagian tengah Lembah Klang dan Johor Bahru.
"I&P Group memiliki lembaran imbangan kukuh, dengan paras hutang sangat rendah, yang merupakan platform terbaik bagi memudahkan pertumbuhan masa depan," katanya.
Permodalan National Bhd (PNB) memiliki 55 peratus daripada I&P Group, manakala 45 peratus yang lain dimiliki oleh Amanahraya Trustees Bhd.
PNB dan SP Setia dalam satu kenyataan bersama berkata mereka memeterai memorandum hasrat tidak terikat hari ini untuk memulakan rundingan mengenai cadangan pembelian itu yang akan dibiayai oleh gabungan ekuiti, dana dalaman dan pinjaman.
Mengenai perkembangan lain, SP Setia berkata, ia juga akan membeli tanah seluas 138.6 hektar di Bangi daripada anak syarikat PNB Development Sdn Bhd, Seriemas Development Sdn Bhd dengan harga RM447.58 juta.
- Bernama

