Keyakinan perniagaan di Malaysia mengukuh pada suku pertama tahun ini, sehingga mencecah tahap tertinggi sejak suku kedua 2015.

Menurut Kajian Keadaan Ekonomi Global (GECS) yang diumumkan hari ini, keyakinan itu telah dirangsang oleh kenaikan harga komoditi dan prospek perdagangan yang semakin baik.

"Kenaikan harga komoditi telah melonjakkan nilai eksport negara dan mengurangkan keperluan untuk penjimatan kerajaan lagi," katanya.

Bagaimanapun, GECS menyatakan bahawa kadar pertukaran yang tidak menentu terus menjadi kebimbangan utama perniagaan bagi suku tahun di bawah kajian, sejumlah 70 peratus daripada responden menyatakan kebimbangan ke atas isu ini.

"Ringgit jatuh mendadak pada tahun lalu dan walaupun ia telah stabil dalam beberapa bulan kebelakangan ini, hutang jangka pendek negara yang tinggi bermaksud bahawa mata wang tempatan masih terdedah kepada sebarang perubahan dalam selera risiko pelabur," katanya.

GECS suku pertama 2017 telah dijalankan secara bersama oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Pengurusan Akauntan (IMA) pada 24 Februari sehingga 13 Mac.

Ia menerima 1,334 maklum balas daripada anggota ACCA dan IMA di seluruh dunia, termasuk lebih daripada 150 ketua pegawai kewangan global.

- Bernama