MIC tetap akan bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata kerusi tersebut adalah kerusi tradisi parti itu sejak sekian lama walaupun beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding di kawasan berkenaan.
"Ini adalah kerusi MIC walaupun terdapat isu (berebut kerusi antara parti komponen) namun ia tidak akan mempengaruhi dan kita akan terus mempertahankannya.
"Kita juga akan mencari calon muka baharu pada PRU14 bagi memastikan kemenangan tetap dimiliki oleh BN," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di Cameron Highlands hari ini.
Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata bagaimanapun keputusan siapa yang akan bertanding di kawasan Parlimen Cameron Highlands terletak sepenuhnya kepada Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelum ini, Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas membayangkan untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands yang merupakan tempat asalnya pada PRU14 nanti.
Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini disandang bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU ke-13.
Bagaimanapun, Kayveas berkata beliau akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN sama ada MyPPP atau parti komponen BN lain yang akan diberi peluang untuk bertanding di kawasan berkenaan.
Pada PRU ke-13, Kayveas bertanding atas tiket BN-PPP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar, Teluk Intan, Perak namun tewas kepada Terence Naidu V. Raja (DAP) dengan 13,037 undi. -Bernama
