Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

Perdana menteri meminta rakyat bijak menilai yang mana kaca dan permata bagi membezakan sikap kerajaan dan dan pembangkang.

Datuk Seri Najib Razak turut memberitahu kerajaan BN tidak pernah menipu rakyat dan segala usaha dan projek perumahan yang dilaksanakan adalah untuk rakyat.

"Kita mesti tahu bezakan antara kaca dan permata, antara hak dan batil.

"Sebagai kerajaan, BN tak pernah tipu rakyat. Kita buat (projek perumahan) untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan majlis pecah tanah Pangsapuri Bandaraya @ Sungai Udang di Segambut, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pembangkang sebelum ini yang didakwa cuba menggagalkan projek pembangunan semula flat di Kampung Kerinchi yang kini diberi nama Residensi Kerinchi.

Projek itu kini melonjakkan harta tanah kawasan itu kepada RM500,000 bagi setiap unit.

Pangsapuri konsep baru

Sementara itu, Najib berkata kerajaan memperkenalkan konsep unik untuk projek Pangsapuri Bandaraya @Sungai Udang.

"Belum pernah lagi konsep ini dilaksanakan di Malaysia. Inilah keadaan yang istimewanya dengan kerajaan BN. Kita sentiasa fikirkan sesuatu yang baik untuk rakyat.

"Jangan sentiasa terpengaruh dengan pembangkang," katanya lagi.

Pangsapuri Bandaraya @Sungai Udang merupakan projek pembinaan pangsapuri dua blok setinggi 34 tingkat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Projek yang akan siap pada 2018 itu bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan bawah RM10,000 sebulan.

Pangsapuri tersebut juga hanya boleh disewa selama lima tahun oleh penghuni dengan kadar RM800 sebulan.

Daripada jumlah RM800 itu, sebanyak RM300 akan diambil sebagai simpanan untuk penyewa dan akan dipulangkan kembali selepas lima tahun kepada penyewa untuk mereka mencari rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS