Malaysiakini BERITA

Nasrudin bakal lengkapkan penguasaan ulama

N Faizal Ghazali

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menjadi Datuk Iskandar Abdul Samad tidak mudah. Sebagai exco kerajaan dan pesuruhjaya negeri, beliau terpaksa mempertahankan Selangor daripada serangan BN.

Pada masa yang sama, sentimen akar umbi yang mahu PAS memutuskan hubungan dengan PKR terus merebak.

Ini boleh disaksikan dalam mesyuarat PAS kawasan-kawasan yang mengemukakan usul itu, terutamanya di peringkat Pemuda.

Keadaan kali ini berbeza dengan dua tahun lepas ketika beliau, Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan penuh gaya menumbangkan kem timbalan presiden ketika itu, Mohamad Sabu.

Walaupun penyandang sentiasa dilihat mempunyai kelebihan, kali ini, Iskandar juga dilihat sebagai calon dilihat 'paling tidak ulama' berbanding lawan-lawannya.

Justeru, apakah penyertaan Nasrudin Hassan, lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir – institusi paling berpengaruh dalam dunia Islam – mampu melengkap penguasaan ulama yang dirintis dalam pemilihan lalu?

Perbezaan pendapat penganalisis

Penganalisis politik ternyata masih berbelah bahagi dalam isu itu.

Bagi Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed, isyarat jelas telah ditunjukkan betapa kepimpinan PAS kini cenderung kepada tokoh yang mempunyai latar belakang agama.

"Sebab itulah, tidak hairan apabila kita lihat golongan-golongan profesional tidak lagi berasa mereka diberi perhatian dan ruang untuk menonjolkan kepimpinan mereka.

"Saya kira senario itu akan berterusan, ini adalah usaha untuk menjadikan PAS itu parti yang didominasi oleh mereka yang mempunyai latar belakang agama atau golongan disebut sebagai ustaz," katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, trend tersebut akan turut berlaku pada muktamar pemilihan PAS minggu depan.

"Mungkin individu-individu yang profesional dan kecenderungan mereka tidak begitu sama dengan kepimpinan ulama di peringkat tertinggi tidak akan mendapat tempat pada pemilihan kali ini," jelasnya.

Keseimbangan ulama-profesional

Bagaimanapun, Pensyarah Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat penyertaan Nasrudin hanya sekadar untuk mencuba nasib.

Katanya, unsur-unsur untuk menyingkirkan Iskandar tidak jelas kerana keseimbangan antara golongan agamawan dan profesional itu mungkin perlu dipertahankan.

"Nasrudin bertanding mungkin atas kapasitinya sebagai bekas ketua Pemuda PAS dan ketua penerangan. Barangkali (beliau) juga mencuba untuk mencari salah satu ruang.

"Beliau boleh menjadi pesaing kuat, namun faktor Iskandar untuk kepentingan PAS di Selangor perlu diambil kira," katanya.

Walaupun PAS tidak lagi bergabung bersama pembangkang-pembangkang utama lain, keadaan di Selangor masih berbeza apabila parti itu masih mengekalkan kerajaan bersama PKR dan DAP.

Bagaimanapun, kali ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai keyakinan berbeza apabila menyasarkan menguasai lima negeri, termasuk Selangor.

Jika ini berlaku, PAS tidak lagi mempunyai kepentingan bersama pembangkang lain di negeri itu dan justeru peranan Iskandar dilihat kurang relevan ketika itu.

Ya, memang tidak mudah menjadi Iskandar.