Polis tahan dua wanita anggota 'Geng Janda dan Perawan'
Dua wanita yang dipercayai anggota "Geng Janda dan Perawan" dan melarikan sejumlah barangan kemas milik seorang warga emas dekat Johor Bahru, baru-baru ini, ditahan polis di dua lokasi berasingan di Kulai, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 35 tahun itu ditahan pada 11 pagi dan 8.35 malam di dua rumah di Bandar Tenggara, Kulai, Johor Bahru.
"Kedua-dua mereka direman selama empat hari sehingga 22 April. Polis juga masih mengesan saki-baki geng berkenaan," katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.
Pada 10 April lalu, seorang wanita warga emas dilaporkan kerugian RM25,000 selepas barang kemasnya dilarikan dua suspek yang menyamar sebagai jururawat.
Kedua-dua suspek memberitahu mangsa yang mereka ingin membuat pemeriksaan penyakit kencing manis, kemudian meminta mangsa menanggalkan barangan kemas dan pakaian dan diminta meniarap sebelum menyuntik sejenis cecair misteri yang menyebabkan mangsa berusia 63 tahun itu, khayal.
Abdul Wahib berkata berdasarkan semakan, kedua-dua suspek, masing-masing mempunyai satu rekod berkaitan dadah. -Bernama

