Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jarakkan parti dari Adam Rosly, kata Rafizi kepada PKR
Diterbitkan:  Apr 24, 2017 2:58 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu parti itu menjarakkannya dengan kemelut peribadi Adam Rosly yang mendapat perhatian meluas media terutama di kalangan yang rapat Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Oleh itu, satu tindakan yang menjarakkan PKR sebagai parti dari kemelut peribadi Adam Rosly perlu diputuskan segera terutamanya dalam keadaan pilihan raya umum ke-14 (PRU)14 boleh dipanggil pada bila-bila masa.

"Saya berharap seluruh kekuatan parti dari akar umbi ke peringkat pimpinan mengambil langkah untuk menjarakkan parti dari kemelut peribadi seperti ini.

"PKR mesti dilihat tegas dan berpegang kepada piawai moral dan keamanahan yang jauh lebih tinggi berbanding parti-parti lain," katanya dalam kenyataan.

Beberapa hari yang lalu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jawatankuasa disiplin parti itu akan membincangkan isu Adam yang didakwa memberi kenyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Perkara itu akan dibincangkan dalam jawatankuasa disiplin, ia adalah satu proses biasa," kata Azmin.

Beliau berkata, adalah tidak adil bagi parti itu membuat kesimpulan kerana Adam baru didakwa semalam dan perbicaraan masih belum bermula.

"Seseorang tidak bersalah sehingga dia dibuktikan sebaliknya. Beliau perlu diberikan perbicaraan yang adil dan peluang untuk membela diri," kata Azmin lagi.

Adam, yang juga ketua pemuda PKR Ampang, didakwa memberi dua kenyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM berhubung dakwaan kekayaan luar biasa beliau.

Isytiharkan harta

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pendirian beliau juga tidak berubah dengan masih berpendapat Adam boleh menjernihkan keadaan dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin.

"Keadaannya berbeza sekarang kerana keengganan beliau mengisytiharkan harta telah mengheret nama baik PKR sehingga dijadikan bahan serangan oleh musuh-musuh politik parti.

"Oleh sebab itu juga, saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain akan mengusulkan supaya satu tindakan diambil yang boleh menjarakkan kemelut peribadi beliau dari mengheret PKR dan Pakatan Harapan.

"Ia sama ada melalui keputusan bersama pimpinan PKR untuk membolehkan Adam 'bercuti' dari jawatan parti sehingga kes beliau selesai atau melalui kaedah lembaga disiplin seperti yang disuarakan Azmin," jelas Rafizi.

Sebab itu, katanya, semasa kekayaan Adam mula-mula menarik perhatian ramai, beliau dengan serta-merta menasihatkannya supaya mengisytiharkan harta.

Ketika itu, tambahnya, ada perbezaan dalaman parti yang beranggapan beliau tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan.

"Saya nyatakan saya tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana piawai moral dan keamanahan yang dipegang PR mestilah lebih tinggi dari parti-parti lain.

"Sama ada seseorang itu menjawat jawatan awam atau tidak, seseorang yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat," ujarnya.

Maka, jika kekayaan itu dikumpul secara sah dan tanpa melibatkan kepentingan awam, saya yakin mana-mana pimpinan dalam parti ini boleh mengisytiharkan harta dengan mudah.

Lihat Komen
ADS