Malaysiakini BERITA

Mana perginya bayaran 1MDB kepada Aabar - ahli PAC tanya MOF

Zikri Kamarulzaman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Apa yang berlaku kepada pembayaran sebelum ini dari 1MDB kepada Aabar Abu Dhabi?

Soalan ini ditimbulkan bangkitkan oleh MP Kulim Bandar Baru, Datuk Aziz Sheikh Fadzir yang juga salah seorang wakil BN dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Aziz berkata demikian berikutan pengumuman penyelesaian antara 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC), yang dimiliki oleh kerajaan Abu Dhabi.

"Saya menyokong penyelesaian itu... tetapi Kementerian Kewangan mesti menjelaskan kepada PAC mana perginya pembayaran yang dibuat oleh 1MDB kepada Aabar sebelum ini," kata Aziz (gambar) ketika dihubungi Malaysiakini.

IPIC memulakan prosiding timbang tara tahun lepas untuk menuntut AS$6.5 bilion daripada 1MDB. Penyelesaian itu diumumkan semalam.

Menurut pemfailan yang dibuat kepada Bursa Saham London, IPIC berkata ia akan menerima AS$1.2 bilion dalam dua bayaran yang sama pada 31 Julai dan 31 Disember.

Pihak yang berkenaan juga bersetuju untuk berbincang dalam hal pembayaran yang dibuat oleh Kumpulan 1MDB Group kepada entiti tertentu.

Walaupun ia tidak menyebut siapakah "entiti tertentu", ia mungkin merujuk kepada pembayaran AS$3.5 bilion yang dibuat oleh 1MDB kepada Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI), yang diperbadankan di Kepulauan British Virgin.

Menurut laporan PAC mengenai 1MDB yang diterbitkan tahun lepas, AS$3.5 bilion tersebut adalah daripada empat transaksi berasingan kepada Aabar BVI - atau Aabar Ltd seperti yang dinamakan dalam laporan itu.

Yang pertama adalah AS$1.367 bilion deposit sekuriti bagi AS$3.5 bilion bon 1MDB dengan bantuan IPIC, diikuti dengan pembayaran AS$993 juta bagi penamatan opsyen bon.

Terdapat juga dua bayaran sebanyak AS$885 juta dan AS295 juta, yang menurut PAC, ia tidak dapat pastikan sama ada ianya deposit sekuriti atau sebahagian daripada bayaran opsyen penamatan.

IPIC telah berkata bahawa ia tidak mempunyai kaitan dengan Aabar BVI dan ia juga tidak menerima pembayaran itu

1MDB berkata ini mengejutkan, dengan mendakwa bahawa rekodnya menunjukkan Aabar BVI dimiliki oleh IPIC dan Aabar Investments PJS (Aabar).

[Baca berita penuh]