Berita kematian jutawan balak S'wak tak benar
Berita yang disebarkan mengenai kematian jutawan media dan balak, Tan Sri Tiong Hiew King semalam adalah tidak benar.
Menjawap pertanyaan orang awam dan media, keluarganya mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang menyatakan 'beliau dalam keadaan baik dan kuat'.
"Berdoalah bersama kami agar beliau menjadi lebih kuat dan hebat. Tan Sri telah banyak menyumbang kepada media dan pendidikan, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa," tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Tiong sering memberi kenyataan yang adil dan tepat dalam banyak perkara menerusi media, selain menyediakan banyak peluang pekerjaan dan menyumbang untuk kebaikan tanpa syarat.
Tiong, 82, yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Rimbunan Hijau dikatakan tidak sedarkan diri di rumahnya dan dimasukkan ke hospital di Singapura Khamis lepas serta didapati mengalami strok.
Menurut Forbes, nilai kekayaan Tiong sehingga semalam ialah US$1.97 bilion (RM8.7 bilion).
Keluarga termasuk adiknya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Lanang dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Datuk Tiong Thai King serta pengurusan tertinggi Rimbunan Hijau, kini berada di Singapura bersamanya.
- Bernama

