Jika berdasarkan kepada reaksi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHP), Datuk Mohd Shafie Apdal, nampaknya pengguna telahpun diberi tempoh pengumuman yang memadai mengenai kenaikan harga bahan api Ahad lalu.

Ketika menjawab soalan malaysiakini dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pengguna Kebangsaan 2005 hari ini, menteri itu berkata sambil tersenyum: "Saya rasa tempoh beberapa jam sudah memadai...ini(bertujuan) mengelak perbuatan menyorok."

Ditanya mengenai kesannya terhadap harga barangan dan perkhidmatan lain, beliau berkata: "Apabila kerajaan memutuskan sesuatu langkah, seperti (menaikkan harga) diesel, petrol dan lain-lain (barangan), ia (tidak akan memberi kesan tidak wajar) terhadap harga barangan di pasaran."

Apabila ditanya sama ada harga minyak akan naik lagi dalam tempoh enam bulan ini, Shafie berkata: "Saya tidak mahu membuat sebarang komitmen mengenainya".

Harga petrol dinaikkan 10 sen lagi Ahad lalu menjadi RM1.62 selitar manakala harga diesel naik 20 sen kepada RM1.281 selitar kenaikan kali kelima sejak Mei tahun lalu.

Kenaikan terakhir harga bahan api itu ialah tiga bulan lalu naik tujuh peratus dengan harga diesel meningkat 23 peratus. Harga diesel dinaikkan lima sen pada bulan Mac. Tahun lalu, harga petrol naik dua kali 2 sen pada 1 Mei dan lima sen lagi pada 1 Oktober.

Langkah menaikkan harga petrol dan diesel itu adalah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk mengurangkan secara berperingkat subsidi bagi bahan api berikutan kenaikan harga minyak dunia yang tinggi.

'Jadi pengguna bijaksana'

Shafie juga memberitahu pemberita bahawa para peniaga mesti mempunyai rasa tanggungjawab dan mengelak daripada mengaut keuntungan daripada pengguna.

Katanya, sebarang kenaikan harga barangan hendaklah 'di peringkat munasabah', tetapi mengakui tidak mudah bagi pihak berkuasa untuk menentukan peratusan kenaikan harga pelbagai barangan.

Menurut Shafie (foto, kanan) pihak kementerian sedang mengawasi premis perniagaan utama seperti pasaraya untuk memastikan harga barangan mereka adalah munasabah.

"Orang ramai mesti bijak membuat perbandingan. Jika barangan itu mahal, pergilah ke tempat lain. Saya yakin terdapat barangan yang lebih murah di tempat-tempat lain," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya, beliau memberitahu kira-kira 300 peserta konvensyen tersebut mengenai konsep kepenggunaan bertanggungjawab.

Menurutnya, perubahan dalam tabiat pengguna didorong oleh persaingan, pembaharuan teknologi, kewangan serta dasar awam dan swasta.

Konvensyen dua hari itu dianjurkan bersama oleh kementerian berkenaan dan Fomca, sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2005 yang disambut setiap tahun pada 26 Julai.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri KPDNHP, Datuk S Veerasingam dan Ketua Setiausahanya, Datuk Talaat Hussin and Ketua Pegawai Eksekutif Fomca Indrani Thuraisingham. Terjemahan/ Berita asal