Kecoh bazar Ramadan: Razali, Md Jais perlu minta maaf
DAP Johor menuntut dua pemimpin Umno negeri itu meminta maaf secara terbuka kerana membuat kenyataan mengelirukan mengenai bazar Ramadan di Kluang.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata reaksi diberikan bekas senator MCA, Gan Ping Sieu, menunjukkan tuduhan dibuat pemimpin Umno itu bersifat fitnah.
"Kenyataan Gan menjadi asas untuk meyakini Anggota Dewan Undangan Negeri Mahkota, Datuk Md Jais Sarday, dan Anggota Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim sudah berbohong," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Razali sebagai berkata, peniaga di Bazar Ramadan Kluang marah kepada DAP kerana parti itu bertanggungjawab meminta tapak mereka ditutup suatu ketika dulu.
Justeru, kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, peniaga terbabit tidak dapat menerima kedatangan Anggota Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong, serta rombongannya ke situ.
BH Online pula memetik Md Jais sebagai berkata, DAP memulakan isu itu pada 2007 dan parti terbabit menggesa bazar berkenaan dipindahkan ke tempat lain.
Md Jais yang juga setiausaha perhubungan Umno Johor berkata "tindakan DAP" itu mencetuskan kemarahan dan tentangan daripada peniaga Melayu yang masih ingat kejadian itu hingga kini.
Bagaimanapun, Liew kemudian mendakwa DAP tidak terbabit dalam desakan memindahkan tapak bazar berkenaan, sebaliknya ia dibuat oleh pemimpin MCA.
Gan yang juga bekas naib presiden MCA dan pernah menjadi timbalan menteri belia dan sukan berkata, Liew cuba mengheret parti berkenaan dalam permainan politik DAP.
Sheikh Omar berkata, orang ramai kini boleh mempertikaikan kredibiliti Razali dan Md Jais sebagai pemimpin politik dan masyarakat.
"Pemimpin yang sanggup berbohong dan memfitnah tidak wajar sama sekali memegang amanah kepimpinan. Lebih baik mereka letak jawatan sahaja," katanya.

