Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Kelebihan Datuk Seri Jamal Md Yunos yang memiliki keberanian serta lantang dalam banyak isu khususnya melibatkan kepentingan rakyat menjadi sebab utama beliau mendapat sokongan padu perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Pandan.

Rata-rata perwakilan pemuda di bahagian terbabit yang ditemui Malaysiakini melihat Ketua Umno Sungai Besar itu sebagai calon yang baik untuk menggantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengetuai Pemuda Umno Malaysia.

Malah, menurut Exco Pemuda Umno Pandan, Hasbulah Alias, sifat Jamal yang tidak kedekut antara sebab kenapa beliau mendapat sokongan penuh orang ramai di situ.

"Saya betul-betul menyokong Datuk Seri Jamal. Tindakan dia luar biasa. Dia tunjuk kepada pemuda-pemuda di luar bahawa dia berani buat sesuatu perkara di luar kawalan.

"Untuk dia menjadi calon ketua pemuda, saya tengok dari segi kewangan, pemikiran memang layak, dan dia banyak bertoleransi dengan pemuda.

"Lima ciri yang disebut oleh Khairy juga insya-Allah ada pada Jamal dan lagi satu dia bukan jenis yang kedekut sebab itu pemuda-pemuda menyokong dia," kata Hasbullah kepada Malaysiakini.

Elak kena tindas

Jamal ketika berucap dalam majlis perasmian mesyuarat Pemuda Umno Sungai Besar di Dewan Umno Sungai Besar sebelum ini meluahkan hasrat untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno bagi menggantikan Khairy jika jawatan itu kosong selepas pilihan raya umum akan datang.

Khairy pula pada 22 Julai menggariskan lima ciri yang perlu ada bagi membolehkan Umno memenangi hati rakyat.

Kata Khairy, seseorang pemimpin Umno perlu berintegriti dan amanah, cekap, prihatin dan peduli rakyat dan menepati janji.

Seorang lagi Perwakilan Pemuda Umno Pandan, Ahmad Zulshah Firdaus Muhammad, berkata pergerakan itu sememangnya memerlukan pemimpin seperti Jamal bagi mengelak penindasan pihak yang tidak senang pada mereka.

"Kita memerlukan seorang pemimpin yang berani kerana kalau pemimpin yang takut-takut, senanglah orang nak tindas.

"Jadi, Jamal layak sebab dia seorang yang lantang," kata Ahmad.

Kena lembut sikit

Jefri Abdullah pula mengakui walaupun perwakilan Umno Pandan berpendapat Jamal memang mempunyai bakat kepimpinan masih ada yang tidak bersetuju Jamal menjadi ketua pemuda.

"Itu pendirian peribadi dia. Jamal memang ada bakat pemimpin dan dia ada gerakan (sendiri) tetapi kalau nak ikut sokongan, ada yang positif dan negatif.

"Mungkin dari segi gerakan beliau, sebab semua ini tak boleh dibuat secara paksaan.

"Generasi hari ini tak suka perkara yang havoc (kecoh), (apa yang perlu ialah) lebih kepada aktiviti seperti mana yang Khairy buat," kata Jefri.

Bagaimanapun, Jefri berkata pemuda sememangnya memerlukan pemimpin seperti Jamal cuma pendekatannya harus dilembutkan sedikit.

"Kalau diikutkan Pemuda Umno memang dari dulu lagi merupakan benteng terkedepan dalam mempertahankan parti dan ciri-ciri itu dah ada pada Jamal.

"Sepatutnya Pemuda memang kena lantang dan siapa saja yang menyerang Umno, pemudalah yang patut menjawab

"Gerakan itu sudah ada pada Jamal cuma caranya saja mungkin (kena) berlembut sikit dengan generasi sekarang sebab ia tak sama dengan generasi sebelum ini," kata Jefri.

Tak ada masalah

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Pandan Datuk Haniff Koslan ketika diminta mengulas kapasiti Jamal sebagai perasmi mesyuarat perwakilan pemuda bahagiannya beliau berkata siapa sahaja layak berbuat demikian.

Namun, ia haruslah merupakan ahli parti.

"Sebagai ketua bahagian dia boleh merasmikan mana-mana persidangan apabila dijemput oleh mana-mana bahagian Pemuda, Puteri atau Wanita Umno atas kapasiti ahli Umno dan selagi dia ahli Umno dia boleh (rasmi persidangan). Tidak ada masalah dan tidak ada pelanggaran peraturan," tegas Mohd Haniff.

Kata Mohd Haniff, secara tradisinya memang presiden atau timbalan dan juga naibnya yang bertindak sebagai perasmi.

Namun, Mohd Haniff menegaskan apa yang dilakukan Jamal tidak ada masalah dari segi perundangan dan perlembagaan parti.

"Itu (presiden atau naib rasmi) tradisinya tetapi dari segi perundangan dan perlembagaan tidak ada masalah

"Tak ada masalah sebab ada ketikanya ketua bahagian itu sendiri yang rasmikan bahagian dan sayap mereka," kata Mohd Haniff.

Jamal semalam hadir ke Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pandan di Ampang dan bertindak sebagai perasmi majlis.

Perkara yang sama turut berlaku kepada pegawai khas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor apabila ditugaskan merasmikan mesyuarat agung Pemuda Umno Kelana Jaya, di Subang.

Lihat Komen
ADS