Pintu masuk ditutup, biara dakwa tak dapat buat upacara agama
Upacara keagamaan tahunan Kathina di Biara Gua Sakyamuni, Gunung Kanthan, Ipoh yang dijadualkan pada Ahad lalu tidak dapat diadakan susulan pintu masuk utama ke kawasan itu ditutup.
Bercakap kepada Malaysiakini, wakil biara, Yap Seong Yee berkata penutupan itu menyebabkan sekumpulan penganut agama Buddha yang hadir untuk menyertai upacara berkenaan tidak dapat memasuki kawasan biara.
Menurutnya, mereka mula tiba di jalan masuk biara sekitar jam 1 tengah hari namun terpaksa menunggu lebih empat jam di luar pintu pagar sebelum akhirnya pulang akibat cuaca panas.
Kata Yap, kenderaan penganut Buddha yang hadir turut berbaris panjang di sepanjang jalan masuk berikutan kekurangan ruang parkir di bahu jalan sementara menunggu untuk memasuki kawasan biara.
/file/attachments/orphans/AinaAbdullah2_956364.jpg)
Kathina merupakan antara upacara tahunan paling penting dalam tradisi Buddha Theravada yang menyaksikan pengikut berkumpul untuk mempersembahkan jubah dan keperluan lain kepada sami selepas berakhirnya tempoh berdiam diri semasa musim hujan.
Sebelum ini, syarikat Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd (APMC) mempertahankan tindakan menyekat pintu masuk utama ke biara itu dengan alasan mahu menghalang kemasukan bahan binaan dan jentera berat yang didakwa digunakan untuk membina struktur tambahan.
APMC merupakan syarikat pengeluar simen dan anak syarikat YTL Cement yang berada di bawah kumpulan YTL.
Pada 16 Okt lalu, APMC menegaskan bahawa pihaknya merupakan pemilik sah tanah berkenaan berdasarkan keputusan mahkamah, selain bertanggungjawab memastikan keselamatan kawasan itu memandangkan ia merupakan kawasan kuari yang masih aktif.
“Matlamat kami adalah jelas, iaitu untuk menghalang sebarang pembinaan baharu dan mengekalkan keadaan sedia ada.
“Kerja-kerja pembinaan dan peluasan struktur yang berterusan akan menyebabkan kemusnahan lebih besar terhadap persekitaran semula jadi di kawasan tersebut,” ujar kenyataan itu.
/file/attachments/orphans/AinaAbdullah1_481430.jpg)
Mengulas lanjut, wakil biara berkenaan mendakwa pihaknya berdepan pelbagai halangan sejak Sabtu lalu termasuk ketika penganut Buddha mahu menghantar makanan yang telah dimasak kepada sami.
Dia juga mendakwa anggota polis bantuan milik syarikat itu bertindak agresif dalam menghalang mereka daripada memasuki kawasan biara.
Sementara itu, ketua sami, Bhante Kusala ketika dihubungi berkata, upacara Kathina tetap diteruskan meskipun kebanyakan penganut agama Buddha tidak dapat memasuki kawasan biara.
Katanya, upacara itu dijalankan dengan bantuan dua pengikut yang hadir sehari lebih awal untuk membersihkan kawasan biara sebagai persediaan.
/file/attachments/orphans/45646456_915213.jpg)
Bagaimanapun, dia melahirkan rasa kesal kerana upacara Kathina sepatutnya memerlukan penyertaan dan restu daripada kesemua penganut Buddha yang hadir.
“Upacara ini memerlukan restu (blessing) daripada pengikut. Jadi, pengikut perlu turut serta dalam upacara tersebut,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/AinaAbdullah55_224440.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.