Pembantu PM puji pegawai AKPS berani lapor dakwaan salah guna kuasa orang atasan
Pegawai khas kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shanmugam Mookan, memuji keberanian seorang pegawai yang bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), kerana membuat laporan terhadap pegawai atasan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.
"Bukan mudah untuk seorang pegawai bawahan tampil menentang tindakan pihak atasan, apatah lagi apabila masa depan kerjayanya mungkin menjadi taruhan," katanya dalam satu kenyataan.
Isnin lalu, Ketua Pengarah AKPS, Shuhaily Zain, mengesahkan bahawa laporan daripada pemberi maklumat tersebut telah membawa kepada penahanan seorang pegawai kanan.
Pegawai itu didakwa memudahkan kemasukan seorang wanita warga asing berusia 38 tahun—yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah—melalui kaunter Imigresen di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T2).
Dalam satu kenyataan media, Shanmugam menyatakan bahawa sebagai individu yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan masyarakat India, dia berasa amat bangga dengan keberanian yang ditunjukkan oleh pegawai berketurunan India tersebut.
“Keteladanan beliau melangkaui batas kaum dan sewajarnya menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.
Dia berkata, insiden ini menunjukkan bagaimana aspirasi kerajaan Madani untuk melakukan reformasi institusi dapat diterjemahkan daripada komitmen di peringkat kepimpinan tertinggi kepada tindakan nyata di lapangan, khususnya dalam agensi-agensi penguatkuasaan.
"Pangkat bukan perisai kepada salah laku, kuasa bukan tiket kepada kekebalan, dan keberanian mempertahankan kebenaran tidak seharusnya dibayar dengan pengorbanan kerjaya.
"Syabas kepada pegawai wanita berkenaan. Semoga keberanian beliau menjadi inspirasi kepada seluruh penjawat awam dalam melaksanakan amanah kepada rakyat dan negara,” tambahnya.
Shanmugam berkata, sejak menerajui pentadbiran negara, Anwar telah menyampaikan mesej yang jelas bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak akan dikompromi, tanpa mengira pangkat, jawatan, atau pengaruh seseorang.
"Ketegasan ini bukan sahaja menuntut tindakan terhadap mereka yang melakukan salah laku, malah menekankan kepentingan melindungi penjawat awam yang berani mempertahankan integriti,” katanya lagi.
Dia turut mengimbau jaminan yang diberikan oleh Anwar semasa berucap di Kementerian Kewangan pada 11 Jun 2024, ketika perdana menteri berikrar untuk mempertahankan setiap penjawat awam, asalkan mereka menjalankan tugas dengan betul.
"Pendirian ini turut diperkukuh melalui surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 5 Julai 2024 mengenai tindakan tatatertib terhadap ketua jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai di bawah seliaan mereka.
"Perubahan dalam sesebuah pentadbiran bukan sekadar diukur melalui pertukaran kepimpinan, tetapi melalui perubahan budaya dan keyakinan penjawat awam terhadap sistem yang menaungi mereka,” tambahnya.
Dalam hal ini, Shanmugam turut memuji Shuhaily kerana memastikan pegawai berkenaan dilindungi.
"Tindakan beliau memberikan makna yang nyata kepada prinsip perlindungan penjawat awam yang telah digariskan oleh perdana menteri," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada DAP, Thulsi Manogaran, turut memuji keputusan pegawai tersebut untuk tampil ke hadapan, namun menegaskan bahawa keberaniannya tidak seharusnya menyebabkan kerjaya profesionalnya terjejas.
“Kerjaya beliau sepatutnya menjadi lebih baik kerana kejujurannya, bukan sebaliknya,” ujarnya.
ADUN Buntong itu juga menggunakan insiden tersebut untuk mengetengahkan isu kurangnya perwakilan kaum India dalam perkhidmatan awam, yang hanya merangkumi 3.63 peratus daripada tenaga kerja, walaupun sebanyak 194,807 permohonan telah dikemukakan oleh anggota komuniti tersebut antara tahun 2021 hingga 2025.
Antara cadangan lain, dia menggesa kerajaan persekutuan supaya menerbitkan angka pengambilan penjawat awam tahunan yang diperincikan mengikut etnik.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/05/b6982bf84918d65d78051a08a291e1b1.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.