Anwar: Orang ramai dilatih sekadar menerima, pandangan berbeza dilabel dajal
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa orang ramai mengambil pendekatan lebih kritis dalam mempertimbangkan kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh agama dan politik, serta menyeru supaya tidak menerima secara membuta tuli pandangan mana-mana individu.
"Kalau pendapat berbeza sedikit, terus dilabel dajal dan tiada siapa yang berani membetulkan mereka," kata Anwar dalam episod khas program Dialog Negara terbitan RTM malam ini.
Walaupun perdana menteri tidak merujuk kepada individu tertentu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini mencetuskan kecaman selepas dia mengaitkan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) antara kerajaan dan pembangkang sebagai "pendekatan dajal pada akhir zaman".
Dalam Islam, dajal adalah sosok yang dikaitkan dengan penipuan dan menyesatkan manusia daripada akidah dan dikatakan muncul menjelang akhir zaman. Tindakan Abdul Hadi menyamakan CSA dengan dajal justeru menggambarkan perjanjian itu sebagai jahat dan merosakkan.
Ketika menjawab soalan daripada pendakwah dan penceramah motivasi Izzhar Nazri dalam rancangan wacana nasional malam ini, Anwar berkata keadaan semasa yang disifatkannya sebagai kurang perdebatan dan usaha mendalami ilmu telah mencemarkan kedudukan Islam dalam masyarakat.
"Bila label 'Islam' digunakan, orang tidak berani mengkritik… saya tidak kata salah orang itu (atau) orang ini, tetapi janganlah pakai terima (kenyataan) seolah-olah dia itu mahaguru (dan) mursyidul am - itu tidak betul," jelasnya.
Mursyidul am ialah pemimpin kerohanian PAS yang mengetuai Majlis Syura Ulama parti Islam itu dan menentukan hala tuju parti dalam hal ehwal agama.
Sambil menegaskan kemahiran berfikir kritis patut diterapkan walaupun terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh perdana menteri, Anwar menekankan bahawa selain tokoh pembangkang, kenyataan pemimpin kerajaan juga mesti mempunyai asas kukuh yang berteraskan ilmu.
Sambil mengetengahkan bagaimana amalan Islam menekankan rasa ingin tahu dan usaha untuk memperoleh pemahaman lebih baik terhadap sesuatu pendirian, Anwar mendakwa piawaian sedemikian tidak diamalkan pada masa ini kerana orang ramai "dilatih oleh pihak tertentu" untuk "sekadar menerima" tanpa berpegang kepada keyakinan sendiri.
"Tugas kamu bukan untuk mempersoalkan mengapa, tetapi buat dan mati. Khalas (selesai)," katanya.
Secara berasingan, ketika menjawab soalan daripada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif platform kesihatan mental Plusvibes, Madiha Fuad, Anwar berkata Kementerian Pendidikan sedang meneliti cadangan untuk memasukkan pendidikan kesihatan mental di sekolah.
Sambil berhujah bahawa pengajian agama dan moral patut diutamakan, Anwar berkata pengajaran mengenai hal kesihatan mental tidak boleh dilakukan dengan cara yang "terlalu terang-terang" bagi mengelakkan pelajar menjauhkan diri daripada ilmu tersebut.
Sambil menekankan peranan ibu bapa dalam melindungi kesejahteraan anak mereka, Anwar berkata guru dan institusi pendidikan juga mesti memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran serta menangani isu kesihatan mental sejak awal bagi mencegah kejadian yang lebih serius.
Guru, katanya, bukan sahaja perlu melaksanakan tugas mendidik pelajar, tetapi juga bertindak sebagai kaunselor, memandangkan kerajaan akan menanggung kos "berbilion ringgit" untuk mengambil kakitangan kaunseling di setiap sekolah di seluruh negara.
Bulan lalu, anggota parlimen PAS Ahmad Yunus Hairi menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah penambahbaikan yang bertujuan menyemai literasi kesihatan mental dalam kalangan guru, di tengah-tengah insiden keganasan melibatkan pelajar di sekolah.
Sebagai respons terhadap gesaan itu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan menekankan peningkatan literasi kesihatan mental dalam kalangan pelajar melalui "promosi, pencegahan, pengesanan, dan intervensi awal".
Org yg kononnya mimpi Nabi bukan Nabi.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/AnwarIbrahim1_117313.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.