Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Raja Melayu bertanggung jawab lindungi rakyat dari perebutan kuasa'
Diterbitkan:  Aug 5, 2017 3:15 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah raja-raja Melayu berada dalam kedudukan terbaik untuk melindungi kepentingan rakyat daripada “hempasan ombak perebutan kuasa” yang dilihat semakin meretakkan perpaduan.

Titah baginda institusi raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan – payung mahkota negara.

"Ketika warga dilanda hempasan ombak perebutan kuasa yang kelihatan semakin meretakkan perpaduan, barang dijauhkan warga dari menghadapi nasib ‘benang habis, kain tak jadi’, ‘jarum patah, baju tak siap’.

"Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berada dalam sebaik-baik kedudukan untuk melindungi kepentingan warga," titah baginda pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Putrajaya hari ini.

Dalam titah selama satu jam 45 minit di hadapan 500 hadirin, Sultan Nazrin bertitah raja pemerintah mempunyai tanggungjawab memastikan semangat perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan warga sentiasa dilindungi.

Titah baginda, perkara-perkara asas, terutama yang menyentuh Islam dan Melayu yang dipersetujui ketika penggubalan perlembagaan merdeka, tidak harus diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek.

Prinsip-prinsip asas itu titah baginda tidak wajar dikorbankan demi kepentingan untuk mengutamakan atau melindungi mana-mana pihak, baik organisasi mahupun individu.

"Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan.

"Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah adalah menjadi tanggungjawab raja memerhati, mengawasi dan memiliki kekuatan untuk menegur para pentadbir agar mengurus tadbir negara, melaksanakan tanggungjawab secara amanah, telus, ikhlas dan jujur bagi memastikan kestabilan kerajaan, kemakmuran negara dan kesejahteraan warga.

Titah baginda raja tidak sekadar pelengkap memenuhi adat, negara beraja – rakyat bersultan atau simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian semata-mata.

"Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku, tanpa nyawa tanpa jiwa. Raja-Raja tidak daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan.

"Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran raja-raja,” tegas baginda.

Titah baginda, pandangan berterus terang dalam perkara-perkara berkaitan agama Islam, bahasa kebangsaan, perpaduan warga, kebebasan kehakiman, rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai lagi, tercetus daripada hasrat untuk memastikan negara terus stabil dan aman, warga terus sejahtera dan makmur.

Sultan Nazrin bertitah adalah penting untuk barisan yang dipertanggungjawabkan menasihati raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar, supaya raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit dengan gurindam kepalsuan.

"Pihak-pihak yang memalsukan fakta dan melindungi kebenaran daripada raja pemerintah, derhaka sifatnya," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah raja dan kerabat diraja tidak terkecuali daripada sasaran lensa dan pena media.

"Raja tidak harus memandang sepi akan peranan media dalam maya yang semakin terbuka. Raja juga wajib menghindarkan diri daripada terjebak atau terperangkap secara langsung dalam sebarang litar putaran media," titah baginda.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Panel Perunding Perpaduan Ummah Majlis Dakwah Negara Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Dr Yusri Mohamad.

- Bernama

Lihat Komen
ADS