Paling Popular
Terkini

Seorang lelaki membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin bahagian MCA kerana didakwa melakukan penipuan melibatkan wang berjumlah lebih RM165,000.

Kong Kon Chioong, 67, mendakwa pemimpin bahagian itu berjanji pada Januari lalu untuk mendapatkan kad pengenalan (IC) biru dan status warganegara Malaysia kepada seorang rakannya yang merupakan warganegara China.

Dalam laporan polisnya, Kong mendakwa lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai seorang peguam dan kenalan rapat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Damansara hari ini.

Kong berkata lelaki itu memberitahunya bayaran untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia berjumlah RM400,000 dan diberitahu untuk membayar deposit sebanyak RM165,000 kepadanya terlebih dahulu.

Seperti yang diarahkan, Kong berkata beliau telah memindahkan sejumlah RM165,000 dalam empat transaksi berasingan ke akaun bank yang didakwa milik lelaki itu.

Transaksi terakhir dibuat pada 23 Mei 2017.

"Selepas saya memindahkan wang itu, dia menjanjikan saya dua bulan (untuk mendapatkan kewarganegaraan)," kata Kong kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu kemudiannya menghilangkan diri.

"Itulah sebabnya saya percaya lelaki itu telah menipu saya sebanyak RM165,000 dengan janji-janji palsu," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, lelaki berkenaan berkata dia akan cuba menghubungi Kong dan menyifatkan dakwaannya sebagai salah faham.

Pemimpin berkenaan juga berkata akan memberikan respons dalam masa beberapa jam lagi.

Kong membuat laporan polis hari ini dengan ditemani Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dari DAP.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS