Paling Popular
Terkini

TEMUBUAL | Apabila duduk bersemuka dengan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali, gambaran yang diperolehi ialah beliau adalah seorang yang sanggup berdepan dengan apa juga cabaran.

Selepas genap setahun beliau memegang jawatan tersebut baru-baru ini, Mustafar meluangkan masa lebih kurang sejam dengan Malaysiakini bercakap tentang ideanya untuk membawa perubahan terhadap jabatan itu, yang sering dikritik kerana menjadi sarang rasuah - dari barisan depan yang mengawal sempadan negara hinggalah kepada pegawai yang bertanggungjawab meluluskan permit.

Sebelum itu, beliau telah mengetuai kakitangan jabatan itu yang berjumlah 14,000 orang, di majlis membaca ikrar bebas rasuah (IBR) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Di majlis itu, Mustafar juga mendapat pujian dari bosnya - Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas rakan sekerjanya di SPRM, Datuk Azam Baki kerana menerajui jabatan itu menuju ke arah yang betul.

"Saya mempunyai toleransi sifar terhadap rasuah, terutamanya dalam kapasiti saya sebagai timbalan ketua pesuruhjaya SPRM sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas majlis itu di pejabatnya di ibu pejabat imigresen di Putrajaya.

Mustafar berkhidmat selama 31 tahun bersama SPRM dan kerjayanya bermula sebagai pegawai penyiasat selepas tamat pengajian dengan ijazah dalam bidang geografi dari Universiti Malaya.

Dia dilantik memegang jawatannya sekarang pada bulan Julai lalu. Beret, baton dan insignias SPRM tersimpan kemas di dalam bekas kaca di pintu pejabatnya.

Pada tahun 2015, satu laporan Cawangan Khas Malaysia mendedahkan rasuah yang berakar umbi di kalangan pegawai penguatkuasa undang-undang, termasuk dari imigresen, di sempadan negara.

Lapan puluh peratus daripada mereka didapati terlibat dalam penyeludupan dan rangkaian pemerdagangan manusia.

Laporan khas Malaysiakini bersama majalah Tempo Indonesia juga membongkar bagaimana pekerja asing dari Indonesia diseludup melalui Batam ke pelabuhan Stulang Laut Johor, melalui pakatan sulit antara para pengedar dan pegawai imigresen tempatan.

Mustafar berpendapat walaupun terdapat "kambing hitam" di imigresen yang mencemarkan nama jabatan itu, tetapi perkara yang sama juga berlaku terhadap sebarang organisasi.

"Ia ditangani. Kami menangkap pegawai kami. Hanya minggu lalu kami menahan beberapa pegawai kerana terlibat dalam kegiatan jenayah seperti itu," katanya sambil berhenti seketika untuk merumuskan jawapannya.

Dia tidak menyatakan jumlah tangkapan yang dibuat setakat ini, tetapi memberi jaminan tindakan telah diambil. Kes-kes dibawa ke mahkamah, atas persetujuan dari Jabatan Peguam Negara.

Kunci untuk membasmi rasuah adalah meningkatkan tahap integriti dalam diri rekrut baru, tegas Mustafar. Dia secara peribadi mengingatkan setiap rekrut baru, mengenai tugas mereka kepada kerajaan dan rakyat pada hari pertama mereka menjalani latihan. Juga, bermula pada bulan Oktober, rekrut akan menjalani latihan selama tiga bulan - dua kali ganda daripada tempoh sebelum ini.

Selain rasuah, isu yang sudah lama ialah penglibatan ejen "yang meraih kesempatan" dalam proses imigresen.

Automasi vs ejen

Mustafar sebelum ini berkata terdapat "tidak ada ruang" untuk ejen, dan mengingatkan majikan supaya tidak menggunakan khidmat mereka ini untuk mempercepatkan proses seperti pengambilan semula pekerja atau berdepan risiko ditipu.

Dalam temubual itu, beliau sekali lagi meminta majikan untuk berurusan terus dengan jabatan itu. Menurutnya sebilangan kecil ejen telah ditangkap setakat ini, tetapi beliau menyebut satu pendekatan yang berbeza untuk menanganinya.

"Rancangan itu adalah automasi, yang akan menghindari semua campur tangan manusia. Sekiranya kita menggunakan sistem dalam talian, kita tidak memerlukan ejen atau vendor.

"Masalah terpaksa beratur akan dapat diatasi, dan majikan akan dapat melakukan urusan mereka mengikut masa mereka sendiri - di rumah atau ketika mereka berada di pejabat," jelasnya.

Jabatan ini telah berusaha untuk memindahkan proses imigresen asas ke dalam talian, termasuk kaedah pembayaran. Pasport kini boleh diperbaharui di laman web myIMM dan November tahun ini, visa akan dibuat secara dalam talian juga.

Pada masa ini, beberapa proses imigresen dilaksanakan oleh tiga vendor swasta yang dilantik oleh kerajaan - MyEg Services Bhd, Iman Resources dan Bakti Megah.

Syarikat pihak ketiga ini sering dipersalahkan kerana menaikkan kos yang terlibat dalam pengambilan dan pengambilan semula pekerja asing, di atas ribuan ringgit yang dibayar kepada kerajaan untuk caj levi dan lain-lain. Ahli palrimen pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia telah berulang kali mempersoalkan keperluan bagi syarikat-syarikat ini pada dasarnya melakukan kerja Imigresen.

"Ini adalah dasar kerajaan, dan ia telah wujud sebelum ini (sebelum saya menjadi ketua pengarah).

"Saya percaya ia untuk menjadikannya lebih lancar. Sebelum ini,hanya imigresen (yang menjalankan proses ini), tetapi bilangan pekerja asing terus meningkat dan menjadi lebih besar," kata Mustafar.

Tidak jauh dari ibu pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya terdapat pejabat cawangan MyEG, di mana lebih daripada 100 pekerja dilihat menunggu giliran mereka untuk membayar "yuran pendaftaran" sebanyak RM900 dan mengesahkan rekod pengenalan cap jari biometrik mereka.

Seorang majikan, yang enggan disebutkan namanya, berkata dia turut membawa seorang ejen untuk membantunya mengendalikan sistem permohonan dalam talian yang menurutnya "bermasalah", dan berkata dia lebih suka apabila proses itu dikendalikan secara terus oleh Jabatan Imigresen.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS