Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sokong parti yang tabur jasa, kata Ahmad Maslan
Diterbitkan:  Aug 13, 2017 3:52 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Ahmad Maslan mahu anggota parti itu mengingati kembali perjuangan asal parti, iaitu kerana agama, bangsa dan tanah air yang telah membawa kepada kemajuan negara pada hari ini.

Beliau berkata dalam perjuangan itu, kerajaan BN yang ditunjangi Umno telah membawa pelbagai pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, kemahiran, perpaduan serta keamanan kepada seluruh rakyat di setiap pelosok Malaysia.

"Begitu juga di Sabah ini, maka kita berilah sokongan kepada parti yang menabur jasa, membawa pelbagai pembangunan dan manfaat kepada rakyat.

"Kenapa perlu menyokong parti baru yang tidak mempunyai jasa membangunkan negara, berkorban kepada rakyat dan parti ini akan terkubur pada pilihan raya umum ke-14," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Wanita Umno bahagian Tawau yang turut dihadiri Ketuanya Datuk Rosdianah Md Nor hari ini.

Beliau memberi contoh inisiatif kerajaan yang menawarkan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan hampir percuma kepada rakyat.

"Kerajaan cuba memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, pergi ke hospital, dapat segenggam ubat tetapi rakyat hanya perlu bayar RM1.

"Begitu juga anak-anak yang belajar di tadika, sekolah rendah dan menengah, mereka diberi hampir percuma pendidikan, kerana ibu bapa hanya perlu membayar yuran persatuan ibu bapa dan guru serta membeli kelengkapan persekolahan anak-anak sendiri," katanya lagi.

Dari segi kemahiran, Ahmad berkata kerajaan juga menyediakan pelbagai program kemahiran untuk belia-belia yang mahu memajukan diri serta meningkatkan taraf hidup keluarga.

"Tidak cukup itu kerajaan tidak pilih kasih dalam menyediakan pelbagai peluang sama rata kepada rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan itu menjadikan negara lebih bersatu padu," katanya.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS