Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: 'Parti bunga' tak dapat tandingi Umno

Sebuah parti yang berjuang demi nafsu, dendam dan sebab peribadi tidak dapat menandingi roh perjuangan demi kesejahteraan rakyat yang telah menjadi asas Umno sejak ia ditubuhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Umno itu berkata sebuah parti di negara ini yang dinamakannya sebagai 'parti bunga' tidak mempunyai roh perjuangan jelas seperti Umno dan parti itu yang hanya berlandaskan kepada nafsu, dendam serta sebab peribadi tidak akan dapat berdiri kukuh demi perjuangan membela rakyat.

"Parti politik hendak berjaya kena ada hala tuju yang jelas, roh perjuangan (yang) membakar, mengaum (dan) roh perjuangan itu ada (pada Umno) berbanding dengan sehari dua ini parti bunga itu apa dia hala tuju, apa roh perjuangan (mereka), kalau semata-mata nak balas dendam bertujuan peribadi (dan) perjuangan seperti itu percayalah takkan bertahan lama.

"Perjuangan kerana nafsu dendam nak tolak sesuatu kerana ada kelompok kecil tidak puas hati, tidak boleh tandingi perjuangan Umno yang dibawa sekian lama untuk rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Bukit Katil di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron; bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Katil serta kira-kira 20,000 perwakilan dan orang ramai.

Najib berkata dalam usaha Umno meneruskan roh perjuangan itu pada masa kini dan masa hadapan, anggotanya perlu menyemat semangat terus berjuang dan berkhidmat untuk rakyat walaupun tiada jawatan dalam politik.

Beliau berkata kesetiaan sepanjang hayat terhadap Umno oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang terus berkhidmat untuk parti dan rakyat tanpa memegang jawatan politik perlu diteladani semua anggota parti.

"Melihat Allahyarham sebagai simbol kesetiaan sepanjang hayat, ketaatan yang sejati dan pejuang Umno yang tulen dan saya masih ingat lagi Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman pernah menyebut Abdul Ghafar kata jawatan tidak penting yang penting adalah parti Umno.

"Sikap seperti ini yang perlu ada dalam diri setiap daripada kita dan lebih-lebih lagi kita nak berjuang untuk menebus maruah kita di Bukit Katil ini. Kita mesti ambil iktibar daripada pejuang seperti Tun Abdul Ghafar," katanya.

Katanya sikap kesetiaan Abdul Ghafar itu dilihat turut ada pada diri Mohd Ali meskipun beliau tiada jawatan dalam politik, namun tetap bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

Perdana menteri berkata Melaka merupakan bukti jelas keringat Umno dalam memperjuangkan nasib rakyat melalui pelbagai inisiatif terbaharu projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang bakal mempunyai sebuah stesen di negeri ini seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada rakyat Melaka.

"Kita nak teruskan perjuangan, kita nak lihat Melaka lebih maju lebih berjaya. Nak bawa HSR untuk orang Melaka, nak pastikan Melaka Gateway dan pembangunan Sungai Melaka berjaya.

"Saya luluskan pembangunan 17 masjid seluruh Melaka, dua laluan jejambat RM350 juta kurangkan kesesakan Bukit Katil, inilah nampak perjuangan kita.

"Bagi tahu kepada rakyat dan pengundi nanti jangan buang undi sia-sia, Ahli Parlimen Bukit Katil (Shamsul Iskandar Md Akin daripada PKR) apa jasanya (kepada rakyat), tiada. Kita mesti tunjuk kita lebih baik daripada pembangkang," katanya.

Katanya bagi meneruskan usaha membela dan mensejahterakan rakyat, Barisan Nasional memerlukan sokongan padu daripada rakyat terutamanya pada pilihan raya umum ke-14 nanti bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.

Sementara itu, dalam majlis sama, Najib turut mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk Umno Bahagian Bukit Katil bagi meneruskan usaha bahagian itu membantu rakyat di kawasan tersebut.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS