Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan semakan semula batal reman exco Pulau Pinang ditolak

Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini menolak permohonan semakan semula untuk membatalkan perintah tahanan reman terhadap anggota exco Kerajaan Pulau Pinang Phee Boon Poh yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown.

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu setelah meneliti hujah daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam tertuduh.

Hashim berkata permohonan itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kerana beliau mendapati mahkamah tinggi tersebut merupakan forum yang sesuai untuk mendengar permohonan itu.

"Setelah meneliti hujah-hujah, saya berpendapat bahawa sepatutnya permohonan ini difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang," kata hakim.

Permohonan semakan semula itu dikemukakan oleh peguam tertuduh Ramkarpal Singh dan R S N Rayer dan ia turut dibuat untuk dua lagi individu yang ditahan SPRM dengan diwakili peguam Dev Kumaraendran.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Negeri A. Hafiizh Abu Bakar.

Jumaat lepas, Phee ditahan SPRM untuk membantu siasatan kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Phee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang ditahan semasa memberikan keterangan di pejabat SPRM negeri itu.

Semalam Mahkamah Majistret Pulau Pinang membenarkan perintah reman selama ima hari bermula semalam ke atas Phee bersama pengarah dan pengurus kilang itu bagi membantu siasatan SPRM.

Permohonan semakan semula itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini kerana Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang pada Sabtu bercuti.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ramkarpal berkata pihaknya akan memfailkan permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang esok.

-Bernama

Lihat Komen
ADS