Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul jawatan presiden, timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan

Umno Bahagian Masjid Tanah hari ini sebulat suara meluluskan usul agar jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, kata ketuanya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau yang juga setiausaha kerja Umno berkata bahagian tersebut turut meluluskan usul menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Razak yang juga perdana menteri dan naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ab Rauf berkata semua 64 cawangan dalam bahagian itu sebulat suara menyokong usul tersebut.

“Kita juga meminta agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak bertolak ansur dengan syarat kelulusan Bahasa Malaysia dalam mengisi jawatan dalam kerajaan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan penutup Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Najib itu juga dihadiri oleh timbalan perdana menteri Ahmad Zahid dan ketua menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron serta kira-kira 5,000 perwakilan Umno.

Sementara itu, Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Bukit Katil di Ayer Keroh dekat sini hari ini turut meluluskan usul menyatakan sokongan terhadap dua pemimpin utama parti itu.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Katil, Datuk Saat Abu berkata, usul lain yang turut diluluskan ialah mempertahankan ketuanan Melayu dan sekaligus menolak parti pembangkang termasuk DAP.

Katanya, usul lain mendesak agensi pinjaman di bawah pentadbiran kerajaan meluluskan pinjaman berskala kecil kepada peniaga bumiputera tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Persidangan itu juga dirasmikan Najib turut dihadiri ketua Umno Bahagian Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam; Idris Haron serta kira-kira 20,000 perwakilan serta orang ramai.

Lihat Komen
ADS