Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Umno dakwa penyokong BERSATU baling kasut, botol
Diterbitkan:  Aug 14, 2017 9:43 AM
Dikemaskini: 4:30 AM

Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Anifah mendakwa kekecohan yang berlaku di program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam semalam berpunca daripada penyokong BERSATU sendiri.

Katanya, berdasarkan video yang tular dan kenyataan daripada mereka yang hadir, kekecohan bukan bermula selepas seorang anggota Umno yang dikenali sebagai Fariz Hadi bertanyakan soalan kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, beliau mendakwa soalan mengenai tragedi Memali itu dikemukakan oleh anggota exco ARMADA.

"Keadaan jadi panas selepas beliau tanyakan soalan mengenai Memali. Apabila soalan beliau tidak dijawab dengan jawapan yang tidak boleh diterima oleh pihak yang bertanya soalan maka mulalah provokasi di majlis tersebut.

"Kejadian sebenar adalah bila kasut dan botol dibaling pada Exco ARMADA oleh penyokong taksub BERSATU, maka di situlah mula segalanya," dakwanya.

"Jadi yang mula adalah ARMADA sesama sendiri bukan saudara Fariz Hadi," katanya dalam satu kenyataan.

Fariz dalam status di Facebooknya semalam berkata beliau datang ke program itu seorang diri selepas "dicabar orang tertentu".

Menurutnya, beliau bertanyakan soalan kepada Mahathir sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang "peliwat negara" atau menjadi mangsa kerakusan politik bekas perdana menteri itu.

Selain itu Fariz bertanya sekiranya dakwaan itu benar, apakah Mahathir akan bersetuju jika Anwar dipilih sebagai perdana menteri.

"Tun tak menjawab soalan saya malah pusing cerita. Tun kata Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tak tanya soalan tu. Buang masa saya hadir program di mana Tun M penakut nak jawab soalan. Kononnya Nothing To Hide.

"Selesai Tun M menjawab saya keluar dewan. Baik saya spend time dengan keluarga dari buang masa layan orang tua kuat pusing cerita.

"PM memang tak perlu datang program begini. Saya datang pun Tun M tak jawab soalan saya," katanya.

'Remaja menyamar ahli ARMADA'

Sementara itu, Ketua Pemuda BERSATU (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ketiga-ketiga remaja yang ditahan polis adalah remaja di bawah umur dan bukan anggota ARMADA.

Mereka ialah Muhammad Nur Fazly Arnas, 17; Muhammad Afiq Afifi Mohd Nazri, 19 dan Muhammad Safwan Shairul Nezem, 18.

"Umum mengetahui, ada syarat umur yang ditetapkan bagi menjadi ahli ARMADA dan kami juga telah menyemak semula keahlian mereka dengan BERSATU. Mereka sama sekali bukan ahli BERSATU.

"Mereka hanyalah remaja upahan yang menyamar sebagai ahli ARMADA dengan berbekalkan sehelai t shirt ARMADA dan t shirt ARMADA yang dipakai oleh mereka bukanlah t shirt rasmi ARMADA.

"Persoalannya, jika mereka bukan ahli BERSATU, siapakah yang telah memperalatkan mereka untuk cubaan mencederakan Tun Mahathir?" soalnya.

Acara yang bermula pada jam 3 petang di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam semalam menjadi kecoh pada kira-kira jam 5.30 petang ketika Mahathir berucap kepada orang ramai.

Ketika Mahathir menjawab soalan mengenai tragedi Memali di Baling pada tahun 1985, selipar dan kasut dilemparkan ke arahnya. Ini diikuti oleh beberapa objek lain termasuk kerusi, botol air dan suar di dalam dewan.

Bagaimanapun, tiada objek mengenai Mahathir apabila anggota keselamatan bergegas untuk melindunginya. Pertempuran kemudian berlaku apabila penyokong BERSATU cuba menghadapi provokasi berkenaan yang akhirnya melarat keluar dewan.

Lihat Komen
ADS