Paling Popular
Terkini

Sedikit sewel - itu gelaran digunakan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pihak yang menuduh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sengaja mencetuskan kekecohan di forum Nothing To Hide 2.0 semalam.

Bercakap kepada media di Petaling Jaya hari ini, Muhyiddin berkata tidak ada sebab untuk BERSATU merancang melakukan kekecohan di program yang mereka anjurkan sendiri.

"Orang yang mencadangkan (BERSATU sengaja mencipta kekecohan) itu mungkin ada sedikit sewel, tak rasional.

"Ia adakah majlis kami. BERSATU mahu menganjurkannya dengan tersusun, dalam keadaan baik supaya Tun Dr Mahathir Mohamad ada ruang untuk beri penjelasan," katanya.

Muhyiddin ditemui di Ibu Pejabat BERSATU.

Siang tadi Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa kekecohan itu sengaja dirancang lebih awal oleh BERSATU.

Dakwaan serupa turut dibuat beberapa pihak lain, termasuk Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Kata Tengku Sariffuddin, apa yang berlaku semasa Dr Mahathir menyampaikan penjelasan sempena Nothing To Hide semalam adalah bukti bahawa parti-parti pembangkang sendiri sedang bercakaran.

Ketua Pemuda BERSATU (ARMADA) Syed Saddiq Abdul Rahman bagaimanapun mendakwa insiden itu tercetus hasil provokasi pihak tertentu yang menyelinap masuk ke majlis berkenaan.

Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) juga mendakwa kekecohan itu didalangi penyokong Umno.

Muhyiddin berkata insiden yang terjadi itu adalah sesuatu yang "malang" dan pihak yang mencetuskannya perlu dikutuk.

"Kami tidak pasti bagaimana mereka masuk ke tempat forum diadakan.

"Kami ahli politik dan tidak ada kemahiran mengenal pasti sama ada seseorang itu baik atau jahat," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS