Pengunduran beberapa pemimpin kanan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepatutnya menjadi peluang untuk parti terbabit menilai kelemahan dalaman dan memperkukuh organisasi masing-masing, kata Ketua Penerangan GPS Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Secara peribadi, saya berpandangan bahawa perkara ini mungkin boleh menjadikan parti lebih matang.

“Apabila melihat ahli veteran meninggalkan parti, ia sepatutnya mendorong parti untuk menilai apa yang sedang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo dan Persidangan BorneoCraft Global 2.0 di Kuching, menurut laporan Bernama.

Dia berkata perselisihan dan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan bukan perkara luar biasa dalam politik kepartian.

Namun, dia enggan mengulas lanjut mengenai isu dalaman Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu komponen GPS.

Pada 23 November, naib presiden kanan PDP yang juga penyandang Bawang Assan, Wong Soon Koh, serta naib presiden parti itu yang juga penyandang Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa, mengumumkan pengunduran daripada PDP berkuat kuasa 22 November.

Kedua-duanya melepaskan semua jawatan parti, sambil mengekalkan sokongan kepada GPS dan kepimpinan Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Wong, bekas presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang menyertai PDP selepas PSB dibubarkan pada 2024, berkata hala tuju politik PDP tidak lagi selari dengan tujuan dan harapan asal ketika dia menyertai parti itu.

PDP Party Triennial General Assembly 2026 Party members, PDP flag, GPS flag, Sibu Sarawak 200526 Tiong King Sing Interview

Presiden PDP Tiong King Sing pula menolak alasan tersebut dengan menegaskan memorandum persefahaman antara PSB dan PDP tidak menetapkan sebarang syarat tambahan yang mengikat kedua-dua pihak.

"Oleh itu, adalah tidak munasabah untuk mendakwa bahawa ‘tujuan asal menyertai PDP tidak dipenuhi’ hanya kerana kepentingan peribadi tidak diambil kira,” katanya melalui hantaran Facebook pada 24 Nov.

Pada 25 November, lima jawatankuasa perkhidmatan PDP di Paradom, Sungai Bidut, Engkilo, Sungai Sadit dan Sungai Empawah turut mengumumkan pengunduran secara kolektif sebagai tanda sokongan kepada Wong.

Dalam kenyataan bersama, mereka dipetik Utusan Sarawak menyuarakan kekecewaan terhadap hala tuju dalaman PDP, semangat kerja berpasukan serta layanan terhadap akar umbi.

Sementara itu, Rayong telah diterima menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada mesyuarat parti itu pada malam 24 November.

Pada 25 November, Abang Johari mengumumkan Rayong sebagai calon GPS untuk mempertahankan Engkilili, dengan Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian mengesahkan dia bertanding sebagai ahli parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, GPS mengumumkan senarai penuh 82 calonnya pada 25 November, termasuk 11 muka baru yang merangkumi kira-kira 13.4 peratus daripada keseluruhan calon.

Abdul Karim menyifatkan pengenalan muka baru itu sebagai usaha membawa nafas segar dalam kepimpinan dan menggalakkan lebih ramai golongan profesional muda menceburi politik.

Menurutnya, kebanyakan muka baru itu daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dengan hampir semuanya dalam lingkungan usia 40-an dan kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional.

Dia berharap calon berkenaan mampu meraih kemenangan bagi meneruskan usaha meremajakan parti serta membawa generasi muda ke dalam barisan kepimpinan GPS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember untuk pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian.