Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 pelajar IPT direman berkaitan kes culik kanak-kanak
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 6:10 AM
Dikemaskini: 10:18 PM

Mahkamah Khas (Reman) di Seremban mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas dua pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) semalam berkaitan kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kuarters Kakitangan Politeknik Port Dickson.

Kedua-dua pelajar lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 21 tahun direman selama enam hari dan rakannya berusia 18 tahun direman selama empat hari.

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas (Reman), Rahimah Rahim.

Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kedua-dua mereka ditahan polis ketika sedang membeli tiket wayang di sebuah pusat membeli-belah di Seremban, kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.

Kanak-kanak perempuan itu dilaporkan hilang Ahad lepas kira-kira pukul 6 pagi dan dia hanya disedari hilang apabila bapanya mahu mengejutkannya di bilik untuk ke sekolah.

Bagaimanapun kira-kira pukul 9 malam hari yang sama, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat berhampiran pondok pengawal Politeknik Port Dickson, dipercayai ditinggalkan oleh individu yang menculiknya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS