Paling Popular
Terkini
story images
story images

Mungkin tidak ramai yang menyangka apa yang sedang berlaku terhadap ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Isa Abdul Samad.

Isa pernah menjadi orang besar dalam BN, telah berkhidmat sebagai menteri besar Negeri Sembilan selama lebih dari dua dekad, dan mensasarkan jawatan tertinggi dalam Umno, bermula dengan jawatan naib presiden.

Beliau dilihat sebagai rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memberinya tanggungjaawab untuk menjaga Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures (FGV), institusi utama asas sokongan orang Melayu terhadap BN.

Apabila dia berhenti dari FGV di tengah-tengah pertelagahan dengan ketua pegawai eksekutif pada bulan Jun, perdana menteri terus melantiknya sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).

Mungkin ada yang melihatnya sebagai tanda bahawa Isa, dengan naungan Najib, menikmati bentuk perlindungan politik tertentu.

Tetapi ini tidak berlaku apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahannya pada hari Selasa, menyerbu rumahnya, dan membawanya ke mahkamah pada keesokan harinya.

'Tak sekuat mana'

Tindakan sedemikian terhadap seorang orang besar biasanya berisiko, kerana ini boleh mencetuskan tindak balas dari kalangan penyokongnya.

Bagaimanapun, nampaknya Isa tidak lagi sekuat sepertimana sebelum ini, dan ini membataskan sebarang kemungkinan tindak balas politik dari para penyokongnya.

"Tindak balas? Mungkin hanya terhad kepada proksi dan kroni," kata profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin kepada Malaysiakini.

Walaupun agak berhati-hati dengan komennya, Ketua Kumpulan Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkongsi pendapat yang serupa.

Mustafa berkata Isa hanya mempunyai pengaruh yang besar di Jempol di mana dia merupakan ahli Parlimennya, dan di Teluk Kemang di mana dia menjadi ketua bahagian Umno.

Manakala penganalisis politik Dr Ahmad Atory Hussain berkata tanpa sokongan Najib, kerjaya politik Isa akan berakhir sekarang.

"Sebenarnya dia diangkat dan dibantu oleh Najib, kalau tidak, kareernya dah bungkus," kata Atory

Kejatuhan Isa dari kuasa bermula apabila Umno menggantung keahliannya pada tahun 2005 berkaitan dengan politik wang dalam pemilihan parti pada tahun sebelumnya, dan mengakhiri tempoh singkat dia memegang jawatan naib presiden Umno.

Dia tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum 2008. Isa hanya melangkah semula ke arena politik pada tahun 2009 apabila pentadbiran Najib meletakkannya sebagai calon untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Isa memenangi pilihan raya kecil itu, dan setahun kemudian Najib melantiknya sebagai pengerusi Felda. Isa kemudian memenangi kerusi Jempol dengan majoriti 8,614 undi pada 2013.

Walaupun muncul semula di peringkat persekutuan, namun Isa nampaknya tidak dapat mengembalikan pengaruhnya seperti yang pernah dilaluinya di Negeri Sembilan.

Sebaliknya, BN negeri teguh di belakang Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menurut para penganalisis, telah menunjukkan prestasi yang sangat baik.

"Menteri menteri besar sekarang mengatasi prestasi Isa. Fokus kini adalah pada menteri besar sekarang," kata Shamsul Amri.

Kebaikan untuk BN

Atory menambah bahawa dalam Umno, amalannya adalah untuk berdiri teguh di belakang pemimpin tinggi, dan di Negeri Sembilan, pemimpin itu adalah Mohamad.

Mohamad sendiri tidak kelihatan terlalu gundah terhadap kemungkinan kesan daripada penahanan Isa.

Dalam satu laporan Berita Harian pada hari Rabu, beliau dipetik sebagai berkata bahawa penahanan itu bukan bukti bahawa Isa bersalah, dan tidak akan menjejaskan persiapan Umno dan BN Teluk Kemang untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Malah, dalam percaturan politik, langkah SPRM menangkap Isa boleh dilihat sebagai sesuatu kebaikan untuk BN.

Dengan menahan dan menyiasat Isa, kerajaan Najib dapat menangkas retorik pembangkang bahawa Isa adalah penyebab masalah ekonomi Felda, dan menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk menyembuhkan penyakit Felda.

"Najib rasa tertekan dengan rancangan HARAPAN untuk menawan Felda, jadi dia kena buat sesuatu.

"Isa tu kawan dia, tapi dalam politik tiada kawan atau musuh yang kekal," tambah Atory.

Shamsul Amri bagaimanapun berkata ada kemungkinan penahanan Isa tidak ada kaitan dengan Najib langsung.

Beliau berkata setahunya, SPRM di bawah ketua barunya Datuk Dzulkifli Ahmad adalah serius untuk pantas dalam menangani rasuah.

Tambahnya, Felda adalah isu sampingan tetapi satu alasan yang baik untuk akhirnya bertindak terhadap Isa (kerana didakwa rasuah) sama ada Najib menyokongnya atau pun tidak.

SPRM semalam telah mendapatkan perintah reman selama lima hari terhadap Isa untuk membantu siasatan terhadap pembelian dua hotel oleh Felda Investment Corporation yang dikatakan terlalu mahal.

SPRM telah menyerbu dua rumah Isa sejak dia ditahan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS