Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lebih 20,000 hadiri kenduri bersama rakyat
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 3:32 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Lebih 20,000 orang dari segenap kawasan di Pulau Pinang, terutamanya penduduk Permatang Pauh daripada pelbagai lapisan kaum, menghadiri majlis Kenduri Bersama Rakyat di Politeknik Seberang Perai, di Bukit Mertajam hari ini.

Kenduri Bersama Rakyat yang diadakan bersempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pulau Pinang itu berlangsung dengan meriah.

Lebih istimewa, majlis itu dijangka dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara paling ramai makan secara bersila dan makan secara berhidang mengikut adat tradisional masyarakat Melayu.

Najib ketika berucap berkata kehadiran orang ramai pada kenduri rakyat itu menunjukkan petanda masyarakat Permatang Pauh menerima baik majlis anjuran Barisan Nasional (BN).

"Saya tanya Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (Ketua Umno bahagian Permatang Pauh) pagi tadi berapa orang hadir, dia kata mungkin 15,000 orang. Kalau 15,000 orang hang gagal dari segi indeks petunjuk prestasi.
​​​​
"Tapi hari ini Datuk Mohd Zaidi lulus dengan cemerlang kerana apa, dia bagi saya batch nombor 20,001. Saya dimaklumkan jumlah yang hadir hari ini 21,380 orang dengan ada tujuh khemah besar, 130 khemah kecil.

"Inilah petanda bahawa masyarakat Permatang Pauh menerima dengan baik majlis yang kita adakan hari ini," katanya.

Kenduri Bersama Rakyat itu dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman, dan timbalannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said serta barisan kepimpinan Umno Pulau Pinang.

Turut hadir pada kenduri yang berlangsung dari pukul 12 tengah hari hingga 3 petang itu Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Di majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM45 juta bagi pembinaan Sekolah Menengah Agama Seberang Perai Tengah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS