Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
126,000 unit rumah PPA1M di pelbagai peringkat pelaksanaan
Diterbitkan:  Aug 17, 2017 5:05 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Sebanyak 126,007 daripada 200,000 unit rumah projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) yang disasar akan dibina menjelang tahun 2020, kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata 126,000 unit rumah itu melibatkan 332 projek PPA1M dengan 21 daripadanya itu telahpun berjaya disiapkan, membabitkan 3,379 unit rumah.

“Kebanyakan projek telah dan hampir siap adalah di Putrajaya serta Lembah Klang kerana ramai kakitangan awam di kawasan itu dan usaha giat sedang dilaksanakan bagi mempercepatkan lagi pembinaan projek PPA1M yang lain termasuk di negeri-negeri.

Di Pahang sendiri, kerajaan telah meluluskan 4,629 unit PPA1M termasuk 197 unit rumah PPA1M Aspen, Taman Kuantan yang diserahkan kunci kepada penerima pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci PPA1M Aspen, Taman Kuantan Jaya, di Kuantan hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Mengikut rekod sehingga 31 Julai lepas, sebanyak 92 projek PPA1M kini dalam proses pembinaan melibatkan 24,289 unit rumah.

Menurut Ali, program PPA1M mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penjawat awam di seluruh negara kerana harga rumah yang ditawarkan jauh lebih rendah berbading harga pasaran terbuka sekali gus mengurangkan beban kewangan mereka untuk memiliki rumah.

“Unit-unit PPA1M dijual dalam lingkungan harga RM188,000 sehingga RM376,000 berbanding rumah pasaran terbuka yang dijual dalam lingkungan RM260,000 sehingga 475,000 mengikut keluasan dan ini bermakna subsidi purata yang ditawarkan kerajaan adalah sebanyak RM55,000 seunit.

Disebabkan itu, setakat ini kerajaan telah menerima lebih 300,000 permohonan bagi mendapatkan 200,000 unit rumah PPA1M yang disediakan oleh kerajaan dan kita bersedia untuk memperbanyakkan lagi jumlahnya jika mendapat permintaan.

“Bagaimanapun, setakat ini, 200,000 unit PPA1M itu dirasakan memadai untuk menzahirkan tanda penghargaan terhadap sumbangan dan jasa yang dilakukan oleh penjawat awam dalam menjalankan tugas sebagai tulang belakang kerajaan,” katanya.

Sementara itu, projek PPA1M Aspen, Taman Kuantan itu dibina di kawasan seluas 10.1 hektar meibatkan pembinaan 197 unit rumah teres setingkat, teres dua tingkat, villa dua tingkat, berkeluasan antara 109 meter persegi sehingga 191 meter persegi dengan reka bentuk moden dan kemasan rumah berkualiti.

Ia turut menyediakan pelbagai kemudahan moden bertaraf premium seperti gelanggang futsal dan kawalan keselamatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS