Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin HARAPAN tak yakin Azmin mampu runding dengan PAS

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mungkin merupakan salah seorang pemimpin utama pembangkang, yang telah memainkan peranan besar dalam rundingan antara parti-parti itu semasa pilihan raya umum 2013 dan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak 2016.

Begitu juga ketika krisis menteri besar Selangor pada tahun 2015, di mana Azmin telah menjadi ketua pentadbir negeri itu yang baru tanpa pernah berkempen untuk jawatan tersebut.

Tetapi keadaannya tidak sentiasa sebegitu bagi Azmin.

Usahanya di Sarawak itu sebaliknya menyaksikan pertembungan partinya dengan sekutunya DAP di enam kerusi dan dipersalahkan sebahagiannya kerana berkurangannya kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan di negeri itu.

Kini misinya untuk membawa PAS kembali ke dalam gabungan utama pembangkang sebelum pilihan raya umum akan datang, juga berdepan dengan keraguan dari parti-parti komponen HARAPAN yang lain.

"Terserah kepadanya (Azmin) jika dia mahu berbincang dengan PAS, tetapi kita yakin ia tidak akan membawa sebarang hasil yang positif," kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad kepada Malaysiakini.

Azmin telah cuba berbincang dengan PAS selama lebih setahun. Percubaannya supaya PAS tidak bertanding di Parlimen Sungai Besar sebagai pertukaran dengan AMANAH tidak bertanding di Kuala Kangsar, telah gagal, dan BN akhirnya memenangi kedua-dua kerusi itu dengan majoriti yang bertambah.

Terbaru, Azmin mengakui bahawa dia terlibat dalam perundingan tidak rasmi dengan parti Islam itu sejak beberapa bulan lalu.

Pemimpin gabungan itu yang bercakap dengan Malaysiakini membayangkan bahawa Azmin tidak pernah secara rasmi memaklumkan kepada HARAPAN mengenai perkara itu, tetapi ia dianggap sudah menjadi satu rahsia terbuka yang diketahui oleh semua orang.

"Perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam HARAPAN walaupun kita tahu mengenai pendirian peribadinya mengenai perkara itu," kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

Sementara itu, ahli strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Rais Hussin Mohamed Ariff berkata parti itu sedar mengenai perbincangan tidak rasmi itu tetapi "tidak diberi taklimat mengenai butirannya".

Bercakap kepada Malaysiakini secara berasingan, Khalid, Pua dan Rais Hussin semuanya menyuarakan rasa kesinisan mengenai potensi Azmin untuk berjaya mendapatkan PAS untuk bekerjasama dengan HARAPAN.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS