Paling Popular
Terkini

ULASAN l Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada skuad kebangsaan B-22 atas dua kemenangan mereka dalam peringkat kumpulan A Sukan Sea 2017.

Saya juga ingin menyampaikan pesanan kepada para pemain supaya jangan pedulikan apa yang media cetak atau media sosial perkatakan. Anda harus fokus dan beri tumpuan kepada setiap perlawanan dalam pertandingan tersebut.

Ingatlah bahawa tidak ramai yang dapat menyarung jersi kebangsaan. Anda sepatutnya berasa bangga kerana ia satu penghormatan tertinggi oleh kerana anda terpilih menyarung jersi kebangsaan.

Jangan dilayan dengan mereka yang semata-mata mahu mengkritik, kerana anda mewakili dan berkorban demi negara. Walau apa pun keputusan, menang ataupun kalah, biar saya yang tanggung dan berdepan dengan mereka.

Biar saya yang pikul tanggungjawab tersebut di atas bahu saya. Kerana, negara dan keluarga anda tetap bangga dan berterima kasih kepada anda kerana anda sudah cuba yang terbaik dan berjuang untuk negara tercinta.

Keduanya, berkenaan dengan beberapa pihak yang mempertikaikan mengapa saya tiada di stadium untuk memberi sokongan pada skuad kebangsaan di Sukan Sea 2017 ini. Anda mungkin terlupa sumbangan saya kepada FAM sewaktu FAM, liga dan pasukan lain tidak berduit.

Bukan mahu mengungkit tetapi ini satu kenyataan. Baru-baru ini juga, DYMM Sultan Johor mengurniakan RM4 juta kepada FAM untuk membantu struktur skuad kebangsaan dan liga tempatan. Insentif kepada skuad kebangsaan B-22 juga telah diberikan apabila mereka berjaya layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China.

Buat masa yang sama saya juga berjumpa dengan Astro untuk mendapatkan penajaan untuk semua pasukan yang bertanding dalam liga Malaysia.

Wahai Melayu bangsaku, walaupun terdesak sangat untuk menjatuhkan orang, tidak perlu untuk membandingkan saya dengan sesetengah individu yang hanya tunjukkan muka di stadium untuk berikan sokongan tetapi tidak menghulurkan satu sen pun untuk membantu bola sepak tanah air.

Tidak perlu ke stadium hanya untuk kepentingan politik. Mana pergi individu ini dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila FAM atau bola sepak Malaysia susah dan memerlukan bantuan kewangan?

Walau apa pun Saya tidak salahkan pihak KBS yang tidak berikan duit kepada FAM. Maklumlah, isu duit berjumlah RM100 juta duit rakyat pun tidak dijawab lagi macam mana mereka nak bagi duit kepada kami.

Saya tidak berminat untuk berpura-pura tunjukkan muka di stadium untuk mendapatkan sokongan. Saya tidak perlu sokongan sebab saya bukannya ahli politik.

Jadi, sebelum nak mempertikaikan dan menghukum sesiapa, fikir dulu. Jangan malukan bangsa Melayu dengan sikap busuk hati. Daripada pengalaman saya, jika dibandingkan dengan India atau Cina, kebanyakannya bangsa Melayu sahaja yang menghina Raja mereka setiap hari.

Tetapi apabila susah dan tersempit dengan ahli politik barulah bangsa Melayu ini mencari Raja Raja mereka.

Lagipun siapalah saya kerana apabila saya bersuara saya hanya berseorangan.

Saya juga tidak mempunyai dan membayar 'cybertroopers' parti politik untuk memberi sokongan kepada saya seperti sesetengah individu lakukan. Saya bukan orang yang ingin menjadi popular tetapi ghaib apabila bola sepak negara memerlukan sumbangan.

Jika ada pihak yang bertanyakan dimana saya ketika ini, saya berada di luar negara sedang bercuti ketika ini.

Dari awal tahun hingga sekarang, saya belum bercuti lagi bersama keluarga saya wahai encik-encik yang saya hormati sekalian. Tetapi usah risau, kerana saya sudah menghantar wakil saya iaitu Menteri Belia Sukan yang bersemangat berkhidmat untuk negara dah datang memberi sokongan.

Kepada En Ibdillah, tidak perlulah sibuk-sibuk dengan 'cybertroopers' awak untuk menghentam-hentam saya dan menjulang 'bos' awak. Tiada sesiapa yang nak jatuhkan 'bos' awak.

Awak perlu ingat sokongan terbesar parti politik awak datangnya dari Negeri Johor. Fikirlah sebaik-baiknya.


TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM adalah Tunku Mahkota Johor, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia.

Artikel ini pertama kali dimuatkan di laman rasmi Facebook Jojor Southern Tigers. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS