Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M musuh utama Melayu, kata Pemuda Umno
Diterbitkan:  Aug 18, 2017 4:23 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun menggelar bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai musuh utama Melayu yang berusaha menghapuskan Umno.

"Hari ini, dalam konteks peperangan, kena lihat siapa musuh kita. Musuh orang Melayu dan sedang berusaha untuk hapuskan parti keramat tidak lain tidak bukan adalah Tun Dr Mahathir.

"Saya terus nyatakan nama beliau kerana tidak mahu jentera kita salah sasaran kerana setiap ungkapan beliau (Mahathir) adalah untuk menghancurkan Umno," katanya seperti dilapor BH Online.

Khairul berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Bharu hari ini.

Mahathir sebelum ini keluar daripada Umno dan mengasaskan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) selepas tidak berpuas hati dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya melakukan penyelewengan terutama dalam isu 1MDB.

Dalam usahanya menjatuhkan kerajaan BN, Mahathir bekerjasama dengan PKR, DAP dan AMANAH dalam gabungan pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata sifat tamak dan ego Mahathir menyebabkan bekas presiden Umno itu lupa akan perjuangan Umno.

"Sepanjang 22 tahun Dr Mahathir memerintah, Umno terpaksa 'menghalalkan' apa sahaja tindakan yang dibuat bekas perdana menteri itu atas kapasitinya sebagai presiden Umno ketika itu selain kesetiaan.

"Suatu masa dahulu, dialah presiden kita, bahkan tindakannya memecat timbalannya ketika itu (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita tetap membenarkan tindakannya.

"Tapi lihat apa yang dibuatnya sekarang. Beliau ingin rosakkan perjuangan Umno, fitnah macam-macam kepada Datuk Seri Najib Razak sehingga ada yang percaya kepada pembohongan itu," katanya.

Justeru, beliau menggesa anggota Umno mempertahankan wadah perjuangan parti itu, sekali gus menentang anasir yang didakwa dibawa Mahathir.

Lihat Komen
ADS