Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq ikrar letak jawatan jika 3M kembali cara Umno

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Abdul Rahman berjanji akan meletakkan jawatan jika tiga orang pemimpin tertinggi partinya kembali kepada cara Umno.

Beliau merujuk kepada pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad, presidennya Muhyiddin Yassin dan timbalan presiden Mukhriz Mahathir, kesemuanya berasal dari Umno.

"Saya sedar bahawa kapitalisme kroni malangnya masih ada dan wujud sejak zaman Mahathir lagi.

"Saya tidak boleh mengubah masa lalu tetapi saya akan pastikan jika ia berlaku lagi, saya akan jadi orang yang pertama melepaskan jawatan dan saya tidak akan benarkan parti saya dan negara saya melalui perkara yang sama," Syed Saddiq berikrar demikian semasa sesi perbahasan dengan anggota exco Pemuda Umno Shahril Hamdan di Kuala Lumpur Convention Centre hari ini.

Beliau menjawab soalan hadirin yang bertanya jika dia benar-benar percaya bahawa Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz akan melawan rasuah jika mereka berkuasa.

Hadirin yang bertanya soalan memberitahu bahawa ketiga-tiga tokoh tersebut merupakan bekas pemimpin kanan Umno.

Syed Saddiq mempertahankan ketiga-tiga pemimpin tertinggi partinya apabila dikaitkan dnegan politik wang. Beliau mendakwa Muhyiddin khususnya dikenali kerana memberi 'salam kosong' dan bukannya 'salam berisi'.

Bagaimanapun, beliau mengakui kapitalisme kroni timbul semasa zaman Mahathir selaku perdana menteri.

Perbahasan hari ini berjudul 'Dewan ini percaya Pakatan Harapan memiliki agenda ekonomi yang lebih baik daripada BN'.

Antara hujah beliau, Syed Saddiq menekankan rasuah berkait rapat dengan ekonomi negara dan HARAPAN memiliki kehendak politik yang kuat untuk menghapuskan rasuah dalam negara.

Manakala itu, Shahril berkata BN memiliki rekod baik dalam mengendalikan ekonomi negara dan terbukti mereka dapat melabur dan merancang untuk masa hadapan negara.

Beliau turut berkata HARAPAN kelihatan tidak memiliki agenda ekonomi yang kukuh.

"Melawan rasuah, bukanlah dasar ekonomi yang sebenar.

"Memanglah ia berkaitan ekonomi, tetapi kamu tidak boleh meletakkan asas agenda ekonomi kamu dalam satu isu sahaja.

"Dari segi kebiasaannya, ia bukanlah penghasil pendapatan, " kata beliau lagi.

Menyangkal hujah itu Syed Saddiq berkata menghapuskan ketirisan dan rasuah berpotensi menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM200 bilion setahun.
 

Lihat Komen
ADS