Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tujuh anggota polis dan 14 orang tahanan yang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Kedah cedera apabila lori ‘Black Maria’ yang dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pokok Jambu, Sidam Kanan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ahmad Nasir Jaafar berkata dalam kejadian itu, kenderaan berkenaan terbabas sebelum melanggar kereta Perodua MyVi yang datang dari arah bertentangan.

"Ketika kejadian, kesemua anggota polis dan tahanan itu dalam perjalanan ke IPD Kulim setelah mendapatkan perintah tahanan reman daripada Mahkamah Sungai Petani berkaitan kesalahan Imigresen dan kesalahan lain," katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Jabatan Kecemasan Hospital Kulim menerima panggilan kecemasan pada 11.33 pagi sebelum menghantar tiga ambulans bersama-sama sembilan anggota paramedik ke lokasi nahas.

"Lapan mangsa dimasukkan ke wad iaitu seorang anggota polis berusia 48 tahun yang patah tulang paha kiri dan tujuh tahanan yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita yang mengalami pelbagai kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Enam anggota polis dan tujuh lagi tahanan yang cedera ringan berada dalam keadaan stabil selepas dirawat.

-Bernama

Lihat Komen
ADS