Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) dijangka menerima laporan daripada panel siasatan dalaman ke atas empat orang ahli lembaga pengarahnya pada penghujung bulan ini, kata Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika menghantar seramai 76 jemaah haji yang diuruskan Felda Travel hari ini, beliau berkata lembaga pengarah FGV akan membuat keputusan berdasarkan penemuan dan laporan panel siasatan.

"Sama ada (empat orang yang disiasat) bersalah atau tidak, kita buat keputusan (selepas terima laporan panel siasatan).

"Lembaga pengarah akan fikir apa tindakan selanjutnya. Ini siasatan dalaman jadi ia adalah hak mutlak lembaga pengarah," katanya lagi.

Tambah Sulaiman, pada masa ini tiga daripada empat ahli lembaga pengarah sudah selesai disoal dan hanya berbaki seorang lagi.

Siasatan ke atas setiap seorang ahli lembaga pengarah mengambil masa seminggu.

“Proses siasatan ini masih berterusan dan setakat ini semua yang terlibat bekerjasama yang baik kepada ahli panel.

"Panel siasatan berkenaan yang dianggotai oleh tiga ahli adalah bebas kerana mereka tidak terlibat dalam keputusan untuk mengambil tindakan,” katanya.

Laporan sebelum ini menyebut empat orang yang disiasat ialah presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad, ketua pegawai kewangan kumpulan Ahmad Tifli Mohd Talha serta dua lagi pegawai pengurusan kanan.

FGV dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, lembaga pengarah FGV memutuskan untuk merujuk Zakaria dan Ahmad Tifli kepada panel siasatan dalaman selepas menilai dan menimbang surat tunjuk sebab mereka berhubung isu berkaitan dengan hutang tertunggak Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS