Paling Popular
Terkini

PKR Kedah bersikap terbuka dengan cadangan Lim Kit Siang supaya DAP dibenarkan bertanding di dua kerusi yang sebelum ini milik parti berkenaan dalam usaha Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi PKR Kedah Dr Azman Ismail berkata, cadangan dikemukakan veteran DAP itu akan dipertimbangkan oleh pihaknya.

Selain dipandu oleh prinsip demokrasi, kata beliau, PKR juga dibantu oleh "kebijaksanaan pemimpin-pemimpin kanan" parti.

"Lim seorang senior. (Jadi) kita akan bincangkan (dan) kami akan juga akan mengambil kira realiti di peringkat akar umbi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam Lim berkata HARAPAN boleh membentuk kerajaan negeri di Kedah selepas ini jika DAP dibenarkan untuk bertanding di dua lagi kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Kerusi yang disasarkan DAP itu ialah Kulim dan Gurun yang ditandingi PKR pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu. Bagaimanapun kedua-dua calon PKR itu kalah kepada MCA.

Kata Lim akan berlaku tsunami yang membolehkan HARAPAN menang besar mengatasi BN jika 10 peratus pengundi Melayu dan 5 peratus pengundi bukan Melayu berubah menyokong gabungan pembangkang itu.

Satu atau dua minggu lagi

Menurut Lim, formula itu bukan saja akan membantu HARAPAN menang majoriti di parlimen tetapi juga di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Kata Dr Azman juga berkata cadangan itu juga tidak bermakna PKR mahu diketepikan oleh DAP.

"Kerana ini adalah sebahagian daripada proses rundingan," katanya.

Pada PRU ke-13 kerusi DUN Gurun ditandingi Salma Ismail (PKR) dan Leong Yong Kong. Leong mengalahkan Salma dengan majoriti 1,296 undi.

Bagi DUN Kulim pula Chua Thing Gee (MCA-BN) mengatasi Chu Maw Nian (PKR) dan Mohd Junip Huyazin (BERJASA) dengan majoriti 643 undi. Untuk rekod calon BERJASA hilang wang pertaruhannya di kerusi berkenaan.

Sementara itu Dr Azman berkata, perbincangan masih berjalan antara parti HARAPAN bagi menentukan kerusi yang akan ditandingi pada PRU ke-14 tidak lama lagi.

"Perbincangan berjalan lancar. Dalam waktu terdekat kami akan umumkan keputusan perbincangan tersebut.

"Semua aspek kami ambil kira, termasuk kenyataan Lim semalam," katanya.

Wakil-wakil parti, kata anggota parlimen Kuala Kedah itu, melihat "setiap sudut" untuk menentu dan mengagihkan kerusi yang akan ditandingi.

"Kami akan capai keputusan. Saya rasa mugkin lagi satu atau dua minggu," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS