Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Morib Hasnul Baharuddin daripada parti AMANAH menggesa kerajaan untuk menyelesaikan masalah pengasingan bekas makanan dan minuman bagi mengelakkan sentimen perkauman di sekolah.

"Isu sebegini tidak seharusnya terjadi terutamanya di peringkat sekolah.

"Kementerian Pendidikan perlu memainkan peranan yang lebih berkesan di mana perlunya kajian bagi mengenal pasti cara menyelesaikan masalah ini," kata ADUN dari Selangor itu.

Hasnul berkata pemahaman Islam yang salah telah mengakibatkan pengusaha kantin bertindak sedemikian rupa.

"Islam adalah cara hidup yang tidak menyusahkan.

"Malah, jikalau itu pemahaman pengusaha kantin, suruh dia 'samak' wang yang diterima kerana mungkin telah tersentuh babi atau anjing," tegas Hasnul dalam sebuah kenyataan media hari ini.

"Apa yang saya ingin tekankan di sini, kerajaan perlu lebih fokus kepada pendidikan, keperluan untuk menghormati semua agama sehingga anak-anak akan memahaminya.

"Cara memahami adalah melalui pendidikan dan menetapkan garis panduan yang jelas dengan konsep pemahaman dan toleransi antara satu sama lain," tambah ADUN itu lagi.

Laporan berkenaan tindakan sebuah sekolah di Selangor yang bertindak mengasingkan bekas minuman murid Islam dan bukan Islam telah mencetuskan kecaman hebat daripada pelbagai pihak.

Awal bulan Ogos ini, sebuah portal berita melaporkan sekolah berkenaan telah meletakkan label ‘Murid Islam’ dan ‘Murid Bukan Islam’ pada setiap cawan yang diletakkan bersebelahan mesin pembahagi air di sebuah blok bangunan di sekolah itu dipercayai untuk kegunaan murid-murid.

Laporan itu turut memetik kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan perkara tersebut berunsurkan perkauman selain mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula dilaporkan berkata dasar sebuah sekolah kebangsaan di Hulu Langat, Selangor yang mengasingkan cawan pelajar Islam dan bukan Islam sebagai mendukacitakan dan tidak menggambarkan ajaran Islam yang sebenar.

Beliau berkata perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku terutama di dalam negara yang hidup dalam suasana kepelbagaian dan berharap perkara seumpama tidak berlaku di Perak.