Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU13: PKR, DAP menang kerana jentera PAS, kata Hadi
Diterbitkan:  Aug 21, 2017 8:52 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Pakatan Harapan adalah gabungan pembangkang yang rapuh serta tidak memberi keuntungan kepada Islam dan tidak akan berjaya mendapat undi teras Melayu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, PAS mempunyai kekuatan akar umbi sendiri yang tidak ada pada parti pembangkang lain dan sebagai contoh mereka mempunyai 195 kawasan dari 222 kerusi Parlimen dan 7,063 cawangan di seluruh negara.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kebanyakan jentera adalah jentera PAS yang membantu memenangkan calon pakatan pembangkang daripada PKR dan DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara dengan wartawan Berita Harian. Transkrip penuh wawancara itu disiarkan dalam Harakahdaily, hari ini.

Diajukan soalan mengenai jangkaan secara realistik untuk PRU-14 selepas menyatakan hasrat untuk bertanding di 120 hingga 140 kerusi termasuk kerusi Permatang Pauh, Abdul Hadi berkata, beliau yakin PAS akan mencatatakan prestasi lebih baik.

Ketika bersama Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, PAS menawan 21 kerusi Parlimen tetapi kehilangan penguasaannya di Kedah, walaupun kekal di Kelantan.

“Apabila saya menyebut PAS akan mencapai sasaran menang 40 kerusi, ia adalah satu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi nyata berdasarkan kajian yang kita buat di peringkat akar umbi melalui analisis terperinci sehingga ke peringkat Unit Peti Undi (UPU).

“Kekuatan jentera PAS di seluruh negara sedang bergerak aktif dengan kerja pilihan raya dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen dan pengisytiharan tarikh pilihan raya,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, kekuatan PAS tidak boleh diukur dengan keputusan pilihan raya semata-mata tetapi berdasarkan perkembangan ahli, kawasan dan cawangan.

Mengambil kira pengalaman, katanya, prestasi PAS pernah menurun kepada satu kerusi saja pada 1986 dan hilang dua kerajaan negeri.

“Keadaan ini tidak pernah dialami oleh parti lain, tetapi kita terus semakin kuat. Kita juga tidak buat kajian atas meja saja tetapi kita buat kajian di lapangan.

“Dengan pendekatan baharu Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang kita gerakkan, sudah menampakkan hasil, kini PAS mudah didekati dan disenangi oleh penjawat awam, NGO, agensi kerajaan dan tokoh masyarakat,” katanya.

Lihat Komen
ADS